Pecah amanah: Identiti sembilan individu dalam Kesedar disalah guna

Laporan Sinar Harian pada 27 Mei lepas.
Laporan Sinar Harian pada 27 Mei lepas.
A
A
A

PUTRAJAYA - Identiti sembilan individu di dalam Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dikenal pasti telah disalah guna oleh suspek yang melakukan pecah amanah RM24.8 juta.

Perkara itu didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, kesalahan didakwa dilakukan suspek yang merupakan penolong akauntan agensi itu selama lapan tahun tanpa disedari merupakan suatu perbuatan licik.

"Saya tidak pernah berkompromi kerana ini adalah wang pembayar cukai yang sepatutnya digunakan untuk peneroka," katanya menerusi sidang akhbar pelancaran Jerayawara Advokasi Antigangguan Seksual, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai salah laku yang didakwa dilakukan oleh suspek.

Penolong akauntan yang berusia 37 tahun itu didakwa melakukan pemindahan wang dari akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik Kesedar ke akaun syarikat miliknya membabitkan jumlah keseluruhan RM24,800,189.73 meliputi 194 transaksi.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukannya sejak 2016 sehingga Mei lalu.

Suspek kini direman selepas ditangkap di rumahnya di Gua Musang, Kelantan pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, suspek akan dikenakan tindakan berdasarkan tata kelola sedia ada oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuklah digantung tugas.

"Kesedar adalah agensi kerajaan dan peraturan itu diguna pakai," katanya.