Haniza nafi Azmin, 20 Ahli Parlimen PKR lompat parti

Haniza
Haniza
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Wanita PKR, Haniza Talha menafikan dakwaan yang mengatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 20 Ahli Parlimen parti itu akan menyertai Bersatu seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau menyifatkan isu yang tular itu tidak mempunyai asas dan tuduhan jahat bermatlamat untuk memecah belahkan semangat kekeluargaan dalam PKR.

Menurutnya, isu lompat parti yang tular juga dilihat mempunyai motif jelik bertujuan memburukkan imej Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR.

"Isu yang tular di media sosial kononnya Azmin bersama 20 Ahli Parlimen PKR menyertai Bersatu adalah perkara yang tidak masuk akal.

"Setelah menang dalam pemilihan parti, Azmin sebagai Timbalan Presiden kini bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR membentuk gandingan mantap bagi parti," katanya dalam satu kenyataan.

Haniza yang juga Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor berkata, kesetiaan Azmin kepada idealisme perjuangan PKR terbukti dan sentiasa menjadi inspirasi.

Kewibawaan bekas Menteri Besar Selangor itu dalam parti sejak 1998 merentasi pelbagai onak dan liku perjuangan diketahui ramai.

"Oleh itu, saya gesa semua anggota PKR rapatkan saf dan teruskan gerak kerja serta menolak politik fitnah adu domba seperti ini. Sebagai parti terbesar di dalam PH, PKR akan terus mara mengisi kemenangan," katanya.

Artikel Berkaitan: