Kemalangan, kematian meningkat dalam Op Selamat 15

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kemalangan dan kematian mencatatkan peningkatan pada Op Selamat tahun ini bermula 18 Mei hingga 12 Jun lepas, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata sebanyak 24,461 kes kemalangan dilaporkan tahun ini berbanding Op Selamat pada tahun lepas iaitu sebanyak 22,411 kes.

“Sebanyak 24,461 kes kemalangan direkodkan berbanding 22,411 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas, mencatatkan peningkatan sebanyak 2,050 kes di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15 sempena Aidilfitri 2019 di Bukit Aman, di sini hari ini..

Katanya kes kemalangan maut direkodkan menurun sebanyak tiga kes tahun ini sebanyak 232 kes berbanding 235 kes tahun lepas

Mazlan berkata jumlah kematian direkodkan meningkat sebanyak satu kes pada Op Selamat tahun ini mencatat sebanyak 249 kes berbanding 248 kes.

“Selain itu, jumlah saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Selamat kali ini mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 350,537 saman berbanding 343,863 saman tahun lepas,” katanya.

Katanya lagi pengguna motosikal adalah penyumbang utama bagi kes kematian iaitu sebanyak 158 individu diikuti kereta (60); lori (lima); basikal (empat) dan lain-lain (enam),” katanya.

Beliau berkata analisis terhadap Op Selamat tahun ini menunjukkan bahawa sikap kecuaian pemandu masih menjadi penyumbang tertinggi kes kemalangan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia