Skim insurans mySalam terima reaksi positif

A
A

KUALA LUMPUR - Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam), satu inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi membantu golongan B40 (isi rumah kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah) menangani kesulitan kewangan apabila dimasukkan ke hospital kerajaan atau ditimpa penyakit kritikal mendapat reaksi positif golongan berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat, Bahagian Komunikasi dan Strategi Korporat Kementerian Kewangan, Zakiah Hanum Kassim berkata meskipun baru dilancarkan Januari lepas, kerajaan menerima permohonan daripada 2,474 penerima skim melibatkan pembayaran berjumlah RM349,600 bagi tempoh Mac hingga awal Jun.

Pembayaran itu, katanya melibatkan dua jenis pembayaran iaitu bagi faedah hospital dan yang mengalami penyakit kritikal.

Bayaran berkenaan meliputi RM248,000 kepada 737 penerima yang mengalami penyakit kritikal dan RM101,600 lagi dibayar kepada 1,737 penerima bagi pembayaran faedah hospital.

“Kerajaan kini giat menjalankan pelbagai program kesedaran bagi memberi maklumat terutama kepada penerima-penerima skim yang layak supaya mereka tampil membuat permohonan dan menerima faedah skim ini,” katanya ketika dihubungi Bernama mengenai perkembangan terkini perlaksanaan mySalam.

Skim perlindungan mySalam dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad 24 Januari lepas adalah perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara kerajaan persekutuan dan Great Eastern Takaful Bhd, dengan dana permulaan RM2 bilion.

Kira-kira 3.69 juta penerima, terdiri daripada golongan B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 (BSHR), berumur 18 hingga 55 tahun serta pasangan layak menerima elaun RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun jika menjalani rawatan di hospital dan jika disahkan menghidap satu daripada 36 jenis penyakit kritikal, bayaran tunai sekali gus (one-off) RM8,000 akan dikredit ke akaun mereka.

Zakiah berkata, Kementerian Kewangan dengan kerjasama pelbagai pihak sedang memperhebatkan usaha promosi dan publisiti mengenai mySalam termasuk mengadakan penerangan ke beberapa negeri di Semenanjung termasuk tiga negeri di pantai timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Kita telah mengadakan jerayawara dengan Bank Negara Malaysia (BNM) sempena Karnival Kewangan Pantai Timur di tiga negeri terbabit dari 18 Mac hingga 6 April lepas dan beberapa siri ceramah kesedaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 9 April, Rumah Panjang Bukit Kiara (20 April), di DUN Selangor, Shah Alam dan di Sekolah Rendah Integrasi Datuk Keramat (23 Mei) serta di Hospital Kuala Lumpur pada 25 Mei.

“Kita turut mengadakan ceramah dalam kalangan anggota dan pegawai tentera di Kem Wardieburn, Setapak pada 3 Jun lalu dengan kerjasama Persatuan Takaful Malaysia,” katanya.

Zakiah berkata, tiga lagi ceramah mengenai skim itu akan diadakan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada 23 Jun, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah, Melaka (27 Jun) dan jerayawara bersama BNM (sempena Karnival Kewangan Melaka) di Melaka dari 8 hingga 14 Julai.

Kementerian Kewangan turut bekerjasama dengan pengendali insurans, Great Eastern untuk membuka kiosk-kiosk di seluruh negara pada bulan ini dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan permohonan golongan sasar terhadap faedah yang boleh dimanfaatkan menerusi skim itu.

Hospital terlibat adalah Hospital Kuala Lumpur, di Selangor; Hospital Ampang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Hospital Selayang, Hospital Kajang, Hospital Shah Alam, Hospital Kuala Kubu Bahru, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang dan Hospital Banting.

“Kiosk turut diwujudkan di Hospital Putrajaya, Hospital Seremban (Negeri Sembilan), Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Umum, Kuching, Sarawak. Jadi kita harap dengan penyebaran maklumat yang lebih luas ini akan lebih ramai pemohon yang layak menerima manfaat daripada skim ini,” katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia