Amirudin buktikan mampu terajui Selangor

A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berjaya membuktikan kemampuan menerajui sebuah negeri yang besar meskipun tidak mempunyai pengalaman yang banyak dalam pentadbiran dan politik.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berpandangan penonjolan karektor tidak menjadi kayu pengukur terhadap kredibiliti Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.

“Hasrat kerajaan untuk ketengahkan orang muda sebagai pemimpin adalah perkara yang baik dan lantikan Amirudin amat dibanggakan apabila hasilnya dalam setahun pemerintahan, beliau masih meneruskan kejayaan negeri Selangor.

“Tidak banyak konflik atau isu besar yang melanda Selangor sepanjang setahun ini dan tiada kritikan dari dalam dan luar parti terhadap beliau membuktikan keupayaan dan kewibawaan beliau. Perkara ini patut diberi pujian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Jelas beliau, Amirudin mungkin bukan seorang yang sukakan publisiti sehingga perlu sentiasa mendapat tempat di media namun paling penting adalah keupayaan untuk menerajui Selangor dengan jayanya.

“Isu-isu besar dapat diselesaikan dengan baik contohnya berkaitan air. Paling penting ia tidak menimbulkan masalah besar kepada masyarakat mahupun NGO,”katanya.

Dalam masa sama, Dr Ahmad Martadha berkata sebagai sebuah pentadbir negeri, penting untuk Amirudin meneruskan hubungan baik dengan Istana.

“Tanpa hubungan baik dengan Istana, Selangor akan menjadi seperti negeri lain yang bermasalah seperti yang pernah berlaku di Perak, Negeri Sembilan dan Johor. Selama ini isu seperti itu tidak berlaku di Selangor,” katanya.

Dalam pada itu ada yang berpendapat kurang pengalaman serta karakter tidak menonjol, masih dilihat sebagai kelemahan yang perlu dibaiki oleh Amirudin walaupun sudah setahun beliau menerajui negeri Selangor.

Masih ramai yang membandingkan kredibiliti Amirudin dengan menteri besar-menteri besar Selangor terdahulu yang ternyata lebih dikenali, berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu. Namun begitu, ada juga yang berpendapat tempoh setahun sangat singkat dan tidak adil untuk menilai pencapaian Amirudin termasuk membuat perbandingan dengan pemimpin terdahulu.

Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, Amirudin bukan tidak berkebolehan cuma beliau belum menonjol.

Beliau berkata, tidak wajar untuk semua orang membandingkan pencapaian Amirudin dengan menteri besar terdahulu seperti Datuk Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana tempoh pentadbiran Adun Sungai Tua itu baru setahun jagung. Menurutnya, jika perbandingan terus dibuat ia hanya akan menampakkan perbezaan umpama langit dengan bumi kerana kedua-dua tokoh tersebut sangat berpengalaman dalam bidang politik dan ekonomi. "Amirudin seorang pemimpin muda dan mempunyai banyak ruang dan peluang untuk belajar bagi memantapkan pentadbiran dan menambahkan pengalaman.

"Beri beliau masa untuk membina idionsinkrasi atau gaya politik beliau yang tersendiri.

"Beliau harus diberi peluang untuk mematangkan diri sebagai pentadbir sesuai dengan arus ledakan politik semasa, "katanya.

Awang Azman berkata, idionsikrasi politik yang dibentuk Amirudin nanti pasti akan membezakan gaya politik beliau dengan yang lain," katanya.

Beliau berkata, Amirudin juga perlu menunjukkan pembaharuan yang lebih baik dalam pentadbirannya.

Menurutnya, orang mahu melihat berapa banyak dasar baru yang dibuat Amirudin yang tidak dibuat oleh pemimpin terdahulu.

Katanya, lebih penting apakah ia memberi impak besar, lebih cekap atau bermanfaat kepada rakyat.

Sementara itu, Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, selaku menteri besar di Selangor, Amirudin harus tampil lebih yakin serta agresif memimpin kerajaan negeri.

Beliau berkata, Amirudin tidak boleh kelihatan pasif dan perlu tampil dengan idea serta gerak kerja yang lebih diyakini rakyat.

Menurutnya, populariti menteri besar penting dalam membawa imej serta sokongan dan keyakinan ramai.

"Keyakinan awam dan institusi adalah satu aspek terpenting bagi merancakkan hubungan baik antara pemimpin kerajaan dan masyarakat.

"Selangor perlu mencipta satu destini yang menyakinkan untuk mengekalkan imej negeri dengan kemajuan dan kebajikan, "katanya.

Md Shukri berkata, jika mengambil kira aspek kurangnya populariti menteri besar Selangor kini, Amirudin dilihat mungkin memerlukan satu pasukan khusus sebagai badan pemikir dan pasukan bertindak untuk membantu menyumbang idea, menyalur informasi, serta memperkasakan peranan pejabat menteri besar di mata dan hati rakyat.

Beliau berkata, walaupun sudah ada pelbagai majlis mesyuarat, peranan 'pasukan kerja' ini mungkin boleh dibina khas dengan penglibatan para pengkaji, aktivis awam, tokoh dalam pasukan keselamatan, mantan pegawai kanan kerajaan negeri serta bekas wakil rakyat dan libatkan sama wakil institusi pengajian yang ada.

"Ini boleh membawa langsung idea, kemahiran dan kepakaran urus tadbir yang ada untuk membantu memajukan Selangor, "katanya.

Dalam pada itu, Md Shukri berkata, perlu diingat Selangor bukan lagi sebuah negeri yang khusus kepada soal anak watan asal negeri berkenaan, tetapi sudah menjadi negeri global dengan wujudnya jaringan berkepadatan tinggu migrasi penduduk dari negeri lain bahkan dari negara asing juga.

Jadi katanya, Selangor harus merubah dimensi tugasan awam menteri besar dan Exco ke arah lebih global dan mesra kepelbagaian.

"Selangor adalah negeri yang sepenuh dimanfaatkan 'persekutuan' dan bertaraf antarabangsa.

"Jadi pelan pembangunan serta fokus kebajikannya juga harus lebih ke hadapan berbanding keperluan semasa, "katanya.

Hari ini Amirudin genap setahun dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-16.

Beliau menggalas tugas itu selepas bekas menteri besar sebelumnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terpaksa melepaskan jawatan disandang beliau apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan.