Jumlah kemalangan maut Op Selamat ke-15 di KL catat penurunan

Mazlan Lazim. - Foto Bernama
Mazlan Lazim. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Op Selamat ke-15 sempena sambutan Aidilfitri di Kuala Lumpur mencatatkan penurunan jumlah kemalangan maut jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaannya bermula 29 Mei hingga 12 Jun lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata sepanjang tempoh 15 hari operasi itu, hanya enam kes melibatkan kemalangan maut jalan raya direkodkan berbanding 14 kes pada tahun lalu.

Menurut Mazlan, jumlah kemalangan yang berlaku sepanjang operasi itu dijalankan ialah 2,788 kes, katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu 23,380 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Beliau berkata, Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menugaskan 20 pegawai kanan serta 234 pegawai rendah dalam operasi berkenaan. Kesemua pegawai dan anggota tersebut bertanggungjawab melancarkan lalu lintas, memantau keselamatan jalan raya dan memastikan pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang serta memandu secara berhemah.

Op Selamat 15 yang diadakan serentak di seluruh negeri itu memberi tumpuan terhadap enam kesalahan iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak berhenti di lampu isyarat serta memandu sambil menggunakan alat komunikasi. -Bernama

Artikel Berkaitan: