Op Selamat 20: Kereta penyumbang utama kemalangan jalan raya

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 1,147 jumlah keseluruhan kes kemalangan dicatatkan pada hari ketiga pelaksanaan Op Selamat 20 sempena Hari Raya Aidilfitri.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam laman rasminya di Facebook memaklumkan, sebanyak 1,720 kenderaan terlibat kemalangan jalan raya.

Menurut kenyataan itu, statistik menyaksikan kereta menjadi penyumbang utama kemalangan dengan jumlah 1,268 buah atau bersamaan dengan 73.7 peratus.

"Kemalangan melibatkan motosikal adalah sebanyak 209 buah atau 12.2 peratus, diikuti dengan kenderaan pacuan empat roda iaitu 102 buah atau (5.9 peratus).

"Kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pula adalah sebanyak 85 buah (4.9 peratus)," kata kenyataan itu pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, sebanyak 36 buah (2.1 peratus) kecelakaan melibatkan van manakala lori sebanyak 11 buah (0.6 peratus).

Katanya, tujuh buah bas (0.4 peratus) dan dua buah teksi (0.1 peratus) turut berada dalam statistik kemalangan jalan raya itu.