Najib tak isytihar kepentingan dalam SRC masa mesyuarat jemaah menteri: Mazidah

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet Perlembagaan dan Perhubungan Tan Sri Mazidah Abdul Majid (kiri) ketika tiba di pekarangan mahkamah bagi menghadiri prosiding perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam SRC International Sdn Bhd semasa mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) yang membincangkan pinjaman syarikat itu.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet Perlembagaan dan Perhubungan, Tan Sri Mazidah Abdul Majid berkata, berdasarkan catitan mesyuarat bagi membincangkan memorandum bertajuk “Jaminan Kerajaan Sehingga RM2 bilion Untuk Pinjaman Oleh SRC International Sdn Bhd” tiada anggota Jemaah Menteri (JM) yang meminta Najib meninggalkan MJM ketika atau sebelum memorandum dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Mazidah berkata MJM itu bertarikh 8 Feb 2012.

Najib merupakan penasihat emeritus SRC.

Bagaimanapun, beliau berkata, Najib telah meninggalkan MJM pada 23 Nov 2012 sewaktu mesyuarat membincangkan memorandum melibatkan CIMB Bank Berhad.

Pada ketika itu adik Najib iaitu Datuk Seri Nazir adalah pengerusi CIMB Group Holdings Bhd.

“Adalah menjadi amalan untuk ahli-ahli Jemaah Menteri mengisytiharkan kepentingan mereka jika ada, dalam perkara yang dibincangkan dalam MJM, dan ahli JM itu perlu meninggalkan mesyuarat semasa perkara tersebut dibincangkan.

Tindakan meninggalkan mesyuarat tersebut akan dicatitkan dalam minit MJM. Juga dicatitkan dalam minit MJM, bila ahli JM tersebut menyertai kembali mesyuarat setelah JM selesai membincangkan dan membuat keputusan ke atas perkara tersebut,” katanya yang membacakan penyataan saksinya pada hari ke-27 perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuhan tuduhan berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Menjelaskan mengenai perkara berkenaan, saksi pendakwaan ke-40 itu berkata pernah beberapa kali anggota JM mengisytiharkan kepentingan mereka dan meninggalkan mesyuarat.

“Sebagai contoh, sewaktu MJM pada 26 April 2017, Menteri Belia dan Sukan YB Khairy Jamaluddin, ketika itu telah meninggalkan mesyuarat semasa memorandum daripada Perdana Menteri dibentangkan.

Sewaktu MJM pada 14 Dis 2016, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah meninggalkan mesyuarat semasa memorandum daripada Perdana Menteri dibentangkan. Datuk Seri Najib Abdul Razak juga pernah meninggalkan mesyuarat, berdasarkan rekod bahagian Kabinet.

Beliau telah meninggalkan mesyuarat sewaktu MJM pada 23 Nov 2012 sewaktu mesyuarat membincangkan memorandum melibatkan CIMB Bank Berhad,” katanya.

Kepada soalan lanjutan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan sama ada amalan anggota JM untuk mengisytiharkan kepentingan terkandung dalam Kod Etika Anggota Pentadbiran dan anggotai Parlimen, Mazidah berkata: “Ya”.

“Pada 1997 atau 1998 Kabinet meluluskan Kod Etika untuk anggota pentadbiran dan Kod Etika itu mengkehendaki apabila anda mempunyai konflik kepentingan dalam perkara yang dibincangkan, anda perlu meninggalkan mesyuarat dan perlu dicatatkan dalam minit mesyuarat,” kata Mazidah.

Mazidah, 70, berkata Kod Etika itu dipinda oleh Kabinet pada 2013 tetapi tidak menjejaskan perkara berhubung amalan mengenai konflik kepentingan.

Semasa disoal balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengenai sama ada beliau mempunyai salinan Kod Etika itu, Mazidah menjawab: “Saya tidak memilikinya sekarang” dan bersetuju dengan peguam itu bahawa kod berkenaan bukan rahsia rasmi.

Muhammad Shafee: Boleh membawa salinan Kod Etika itu?

Mazidah: Ya

Muhammad Shafee: Kamu menyatakan dalam penyataan saksi kamu bahawa Khairy Jamaludin meninggalkan mesyuarat selepas mengisytiharkan konflik kepentingan. Boleh kamu ingat kenapa?

Mazidah: Saya rasa salah seorang saudaranya dalam syarikat itu disebut dalam mesyuarat.

Muhammad Shafee: Saya rasa mengenai ECM Libra (syarikat)

Mazidah: Saya tidak ingat.

Semasa Muhammad Shafee meminta beliau mengemukakan minit mesyuarat Jemaah Menteri, Mazidah berkata beliau tidak mempunyai dokumen itu dan menjelaskan dokumen berkenaan diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Muhammad Izzat berkataan pendakwaan akan berhujah mengenai sama ada minit mesyuarat itu boleh dikemukakan esok.

Mengenai kenyataan beliau bahawa Najib tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam MJM, saksi itu berkata biasanya, menteri itu sendiri akan memaklumkan MJM bahawa beliau mempunyai kepentingan dalam perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu atau sekretariat akan memaklumkan menteri.

Mazidah berkata sekiranya beliau tahu Najib adalah penasihat emeritus SRC, beliau akan memaklumkan mengenai kemungkinan konflik kepentingan dengan Jabatan Peguam Negara.

“Setahu saya, pada masa itu, kami tidak mengetahui Datuk Seri Najib adalah penasihat emeritus SRC,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali disambung esok. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia