Unimap perolehi 2,124 geran penyelidikan sejak ditubuhkan

No Image Caption
A
A
A

ARAU - Universiti Malaysia Perlis (Unimap) telah memperolehi 2,124 geran penyelidikan dengan jumlah keseluruhan dana hampir RM128 juta sejak penubuhannya.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, daripada jumlah itu, agensi kerajaan menyumbang geran bernilai lebih lebih RM98 juta,

“Geran seperti ini membolehkan para penyelidik di universiti ini membuat produk yang akan memberi manfaat kepada semua masyarakat pada masa depan,” kata Zul Azhar.

Beliau ditemui Bernama selepas melakukan penutupan Ekspo dan Pameran Penyelidikan (EREKA)- Industry Networking and Business Pitching Unimap 2018 di Dewan Ilmu, Unimap di Ulu Pauh, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Teknologi dan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Aisharuddin Nuruddin.

Zul Azhar berkata, Unimap mahu setiap hasil penyelidikan tidak berakhir di bilik kuliah atau makmal tetapi dibawa ke peringkat yang lebih tinggi dan dikenali oleh sektor industri.

EREKA merupakan program tahunan Unimap dengan penglibatan lebih 200 penyertaan daripada pelbagai institusi pendidikan termasuk UniMAP sebagai tuan rumah.

Antara yang terlibat ialah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Multimedia University (MMU).

Artikel Berkaitan:

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu agrikultur, ICT, elektronik, bahan, perubatan dan pendidikan yang mempertandingkan 70 pingat emas, 82 perak dan 41 gangsa.

Pada majlis itu, Zul Azhar turut menyampaikan ‘Best of The Best Award’ kepada Dr Mohamad Nur Khairul Hafizi Rohani dari Unimap yang muncul juara keseluruhan pada EREKA itu.

Mohamad Nur Khairul, 29, muncul juara keseluruhan menerusi Smart Online PD Monitoring and Location System for High Voltage Distribution Line. Beliau membawa pulang hadiah berupa percutian tiga hari dua malam ke mana-mana negara ASEAN selain trofi dan pingat. - Bernama