Saya ada dalam negara: Farhash Wafa

Farhash Wafa
Farhash Wafa
A
A
A

IPOH - Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan sebuah portal bahawa beliau berada di Manila, Filipina.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, dakwaan tersebut disifatkan tidak berasas kerana beliau masih berada di Malaysia sehingga kini.

Menurutnya, tugas-tugas pejabat masih dijalankan seperti biasa, malah beliau sentiasa berhubung dengan staf pejabat dan mereka mengetahui pergerakannya.

"Mengarut semua laporan itu. Saya ada dalam Malaysia saja. Kali terakhir saya pergi Manila pun saya tak ingat. Mereka sengaja buat cerita kononnya saya hilang. Kalau betul hilang dah tentu keluarga ambil tindakan buat laporan polis.

"Rutin tugas saya macam biasa di pejabat. Bukan semua program Datuk Seri Anwar saya kena hadir. Takkan sebab tak nampak muka saya masa rumah terbuka, dah kata saya hilang pergi Manila," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil ke atas pihak yang mereka cerita kehilangan tersebut, Farhash Wafa Salvador berkata, pihaknya tidak merancang berbuat demikian.

Menurutnya, tindakan tersebut hanya membuang masa dan wang ringgit kerana tiada apa yang perlu diberikan penjelasan panjang lebar.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Perak berkata, kesemua tuduhan tersebut dipercayai timbul kerana beliau tidak mempunyai mana-mana akaun media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin sebab saya tak ada apa-apa akaun media sosial jadi mereka tak boleh nak kesan saya di mana. Jadi mereka pun buat cerita saya ada di Manila.

"Kalau tak percaya boleh tengok CCTV (kamera litar tertutup) pejabat. Saya ada saja di pejabat. Saya tak pergi pun KLIA," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan seorang blogger bahawa beliau berada bersama Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan video intim dengan seorang pemimpin negara.

Pada 14 Jun lalu, Haziq ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membantu siasatan mengenai penularan video berkenaan.