Persatuan teksi, limo bantah perhimpunan GTSM

Abu Bakar Yahya (empat dari kiri) meneliti dokumen berkaitan isu teksi sambil diperhatikan oleh Datuk Mohamad Dahlan Md. Maamor di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya hari ini.
Abu Bakar Yahya (empat dari kiri) meneliti dokumen berkaitan isu teksi sambil diperhatikan oleh Datuk Mohamad Dahlan Md. Maamor di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan teksi dan pemandu kereta limo membantah tindakan Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) mahu mengadakan demonstrasi bagi mendesak kerajaan menyelesaikan isu teksi dengan syarikat e-hailing, Grab.

Kebangakan mereka menyifatkan Perhimpunan Reformasi 2.0 yang Rabu ini di Putrajaya tidak sesuai diadakan dan ia bukanlah pendekatan terbaik bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Pengerusi Persatuan Teksi Lembah Klang, Yuezaimi Yusof berkata, GTSM tidak mewakili pihaknya berkaitan isu tersebut dan tidak pernah merancang untuk mengadakan perhimpunan seumpama itu.

“Sebaliknya kita yakin dan memberi masa kepada kerajaan untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ini.

“Kami difahamkan kerajaan menetapkan tempoh sehingga 12 Julai untuk meneliti permasalahan yang dihadapi oleh warga pemandu teksi.

“Jadi, berilah peluang kepada kerajaan mencari jalan. Dalam masa sama, pihak persatuan pula sepatutnya memberi input serta mengadakan perbincangan dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yuezaimi berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan GTSM yang mahu mengadakan Perhimpunan Reformasi 2.0.

Artikel Berkaitan:

Abdul Jabbar dan Yuezaimi
Abdul Jabbar dan Yuezaimi

Ia susulan rasa tidak berpuas hati terhadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang didakwa enggan mengadakan rundingan dengan pihak GTSM bagi menyelesaikan isu teksi dengan syarikat e-hailing.

Pandangan sama turut dibangkitkan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pemandu Limosin dan Teksi KLIA, Abdul Jabbar S Ghulam Dustageer yang menegaskan perhimpunan yang dirancang oleh GTSM itu tidak mewakili pihaknya.

Tegasnya, perhimpunan tersebut jika diteruskan hanya akan memberi kesan negatif kepada imej pemandu teksi serta mewujudkan lagi ketidakyakinan pengguna terhadap perkhidmatan itu.

“Saya fikir para pengguna tidak akan ambil peduli sama ada perhimpunan itu diadakan atau tidak.

“Pengguna ada pilihan lain untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya Grab, yang ruginya siapa nanti,” tegasnya.

Terdahulu, Yuezaimi dan Abdul Jabbar mengadakan kunjungan hormat bagi membincangkan isu teksi dengan syarikat e-hailing bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya; Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan, Datuk Mohamad Dahlan Md Maamor serta Pengarah Bahagian Bas Expres dan Terminal, Zaid Sabit.