Premis di Bentong tidak terlibat import sampah Kanada

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Premis pengasingan sisa sampah di Karak, Bentong disahkan tidak terlibat dalam aktiviti mengimport sisa sampah plastik dari negara luar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Rosli Zul berkata, hasil siasatan mendapati plastik di situ adalah sisa dari sebuah kilang pemprosesan kertas di Bentong yang diserahkan kepada kontraktor untuk tujuan pelupusan.

"Kilang kertas itu mengimport kertas terpakai dari luar untuk dijadikan kertas kitar semula dan melantik kontraktor untuk menguruskan sisa plastik yang digunakan untuk membungkus kertas tersebut.

"Kontraktor tersebut dipercayai atas inisiatif sendiri membawa sisa kertas dan plastik ke premis itu untuk diasingkan sebelum dibawa ke kilang kitar semula di Bentong," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rosli berkata, dapatan siasatan juga mendapati premis itu digunakan sebagai kawasan pengasingan oleh kontraktor terlibat untuk memisahkan plastik yang boleh dikitar semula atau perlu dilupuskan.

"Sehubungan itu, kita percaya kejadian di Bentong bukan kejadian pengimportan plastik dalam kuantiti besar seperti yang berlaku di Selangor," katanya.

Menurutnya, tindakan lanjut terhadap pemilik premis itu akan diambil Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) atau Majlis Perbandaran Bentong jika ada kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa mereka.

Sabtu lalu media melaporkan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack membongkar kewujudan gudang simpanan sisa plastik yang dikatakan sudah beroperasi selama setahun dan menerima sampah dari negara luar.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Sampah Kanada ada di Bentong

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin pada 10 Jun lalu memberi jaminan kerajaan negeri akan mengesan pemilik premis tersebut bagi tindakan sewajarnya. - Bernama