Referendum bina semula Pasar Pasir Pinji

Howard (duduk, dua kanan) dan Kah Woh (duduk) tengah menunjukkan lukisan cadangan bangunan pasar baharu yang dicadang untuk dibina jika referendum tersebut bersetuju.
Howard (duduk, dua kanan) dan Kah Woh (duduk) tengah menunjukkan lukisan cadangan bangunan pasar baharu yang dicadang untuk dibina jika referendum tersebut bersetuju.
A
A
A

IPOH - Penduduk di bandar raya ini khususnya daripada kawasan sekitar Pasir Pinji akan mengundi buat kali pertama dalam referendum bagi pembinaan semula Pasar Pasir Pinji pada 22 dan 23 Jun ini.

ADUN Pasir Pinji, Howard Lee berkata, referendum tersebut dibuat bagi mendapatkan pandangan majoriti untuk membina semula pasar tersebut selepas lima rundingan yang dibuat bersama peniaga menemui jalan buntu.

Katanya, pembinaan pasar baharu itu menelan belanja RM8 juta melalui peruntukan bersama Kerajaan Persekutuan, negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Pembinaan pasar baharu ini bertujuan memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung kerana bukan sahaja ia dikunjungi penduduk sekitar Pasir Pinji tetapi di sekitar Ipoh.

"Disebabkan itu kita adakan referendum ini untuk melihat sejauh mana cadangan ini dipersetujui untuk dilaksanakan sekaligus menjadikan ia pertama seumpamanya di negara ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Komuniti ADUN Pasir Pinji, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh; Ahli Majlis MBI, Aldrin Ng dan beberapa pengerusi MPKK DUN Pasir Pinji.

Howard berkata, setakat ini seramai lebih 100 peniaga yang menjalankan perniagaan di pasar berkenaan.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai untuk bersama-sama terlibat di dalam referendum ini dan membawa bersama kad pengenalan bagi tujuan pengundian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, referendum akan diadakan di pasar berkenaan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang sepanjang dua hari tersebut dan diuruskan sepenuhnya oleh MBI.

Sementara itu, Kah Woh berkata, jika referendum tersebut bersetuju untuk membina semula pasar berkenaan, satu pasar sementara akan dibina dengan kos RM2 juta.

"Saya fikir bantahan yang dibuat sebelum ini disebabkan kurangnya penglibatan pihak pemegang taruh dalam usaha memberi maklumat kepada orang ramai khususnya peniaga di situ.

"Jika referendum ini berjaya, ia pasti akan menjadi rujukan di seluruh negara dalam isu pembinaan semula pasar awam seperti ini," katanya.

Menurut Kah Woh, pihaknya juga menyambut baik usaha yang dijalankan pasukan Howard untuk mengadakan referendum berkenaan.