X

Kindly register in order to view this article
!

Syed Saddiq tidak berjiwa besar: Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri (tengah) ketika menghadiri Sambutan Hari Raya Peringkat Negeri di Dataran Shahbandar, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas di Kuantan, Sabtu lalu menggambarkan seolah-olah pemimpin berkenaan tidak berjiwa besar.

Yang Dipertua (YDP) Pas Marang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai pemimpin yang juga seorang menteri, Syed Saddiq sepatutnya mempunyai jiwa besar dan dapat membuka hati untuk menerima segala kritikan serta saranan.

“Pada saya, kita sebagai ‘warga’ awam ini perlu menerima teguran terutama yang diberikan terutama melibatkan urusan parti-parti politik.

“Jika apa yang ditegur itu munasabah, kita sepatutnya berlapang dada. Ia secara tidak langsung menunjukkan kita mempunyai jiwa yang besar.

“Kalau masing-masing duduk serang Pas disebabkan benda sebegini ‘sempit’ yang difahami mereka, saya rasa banyak lagi perkara dalam negara kita yang wajar mereka beri perhatian terutama melibatkan masalah ekonomi dan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Peringkat Negeri di Dataran Shahbandar, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri menegaskan, Syed Saddiq sepatutnya memahami secara keseluruhan dan tidak memetik sebahagian sahaja daripada ucapan Abdul Hadi ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas, baru-baru ini.

“Jangan main petik-petik begitu sahaja, apa yang perlu difahami ialah seluruh ucapan baru kita boleh faham kepentingan pemerintahan kerana ia bukan satu perkara yang boleh dibuat main atau dijadikan bahan eksperimen.

“Sudah tentu, apabila membuat pemilihan dalam PRU14 lalu, kita tidak wajar jadikan ia sebagai eksperimen atau ‘manifestasi’ kemarahan terhadap seseorang atau kepada sesuatu dengan membuat keputusan yang tidak berfikir panjang,” katanya.

Enggan mengulas panjang, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, pemimpin itu dinasihati memberi lebih fokus terhadap isu-isu melibatkan rakyat.

“Masalah ekonomi, kos sara hidup ini adalah perkara yang amat menekan rakyat, lebih baik mereka ini melihat diri mereka sendiri dan lihat perkara-perkara begini.

“Saya tak nak cakap panjang, masing-masing boleh berfikir,” katanya.

Sabtu lalu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan membidas hujah Abdul Hadi yang mengatakan golongan muda yang mengundi PH sebagai ‘tidak mengaji agama’ tetapi ‘mengaji dengan telefon bimbit dan media sosial’ itu disifatkan telah menghina kebijaksanaan anak-anak muda.

Katanya, sikap Abdul Hadi yang seolah-olah menyalahkan golongan muda disebabkan kemenangan PH ketika PRU14 dan ia membuktikan kegagalan tarbiah yang dibawa oleh Pas.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq dakwa Pas gagal tarbiyah tapi salahkan teknologi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!