Makam Datuk Kambing dipercayai jadi lokasi aktiviti pemujaan

Makam Datuk Kambing yang ditutup dengan bangunan berwarna kuning merah. Gambar kecil: Latifah dan Alias.
Makam Datuk Kambing yang ditutup dengan bangunan berwarna kuning merah. Gambar kecil: Latifah dan Alias.
A
A
A

ALOR GAJAH - Sebuah makam dikenali sebagai Makam Datuk Kambing di Kampung Melaka Pindah di sini, dipercayai dijadikan lokasi pemujaan nombor ekor sejak bertahun lalu.

Kedudukan lokasi itu yang bersempadan dengan Kampung Panchor menyebabkan ramai yang tidak mengetahui aktiviti khurafat berlaku di kawasan terbabit biarpun ia terletak di tepi jalan.

Penduduk, Latifah Abdul Latip, 60, berkata, dia pernah mendengar mengenai aktiviti yang jelas menyeleweng daripada ajaran agama Islam namun tidak pernah ke makam yang dinamakan sebagai Datuk Kambing.

Menurutnya, sejak dahulu lagi makam berkenaan dikenali dengan nama itu dan dipercayai antara pembesar yang mengikut Datuk Paduka Seri Maharaja Lela berpindah ke Kampung Melaka Pindah sekali gus merupakan orang yang bertanggungjawab dalam penerokaan Kampung Melaka Pindah.

"Terkejut dan sedih bila berpeluang melihat sendiri makam yang merupakan salah seorang pengikut Maharaja Lela telah dicemari dengan aktiviti seperti itu.

"Harap sangat pihak bertanggungjawab dapat buka mata dan bersihkan kawasan berkenaan dari terus dicemari dengan aktiviti khurafat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Makam berkenaan dipercayai dicemari aktiviti khurafat.
Makam berkenaan dipercayai dicemari aktiviti khurafat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, makam yang telah 'dikepung' dengan bangunan bewarna merah kuning dan terletak di Kilometer 25, Jalan Durian Tunggal itu terdapat biskut dan colok berhampiran batu makam dipercayai digunakan dalam aktiviti pemujaan, selain tercatat nama Datuk Kambing bertarikh 25.6.1965 di batu sungai.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Melaka Pindah, Alias Nayan berkata, beliau kesal aktiviti berkenaan berlaku dan sebagai pengerusi baharu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), pihaknya berharap makam yang didirikan atas tanah persendirian itu dapat dibersihkan daripada segala aktiviti tidak sihat.

Menurutnya, beliau akan memanjangkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk mengambil tindakan segera sekali gus membendung aktiviti tersebut.

"Walaupun makam berkenaan dikenali sebagai Datuk Kambing namun tidak seharusnya menjadi tempat berlakunya amalan khurafat dan ia telah berlaku sejak sekian lama.

"Malah ada juga kaum agama lain yang pernah membawa kambing ke makam ini bagi tujuan aktiviti itu dan saya mahu nama Kampung Melaka Pindah dijauhi aktiviti sedemikian," katanya.