Johor sedia jadi lokasi penubuhan rangkaian Supercharger Tesla

Onn Hafiz - Foto Bernama
Onn Hafiz - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri telah menyatakan kesediaan dan potensi Johor untuk menjadi lokasi penubuhan rangkaian Supercharger Tesla, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Katanya, beliau telah berkesempatan bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Pengarah Wilayah Tesla, Isabel Fan.

"Menerusi perbincangan ini, pelbagai perincian serta perancangan telah diutarakan oleh pihak Tesla,” katanya dalam hantaran di laman Facebook di sini.

Beliau berkata, ekosistem yang kondusif dan pengukuhan polisi kerajaan yang menekankan peralihan kepada teknologi hijau, telah memberikan keyakinan kepada syarikat kenderaan elektrik (EV) mega itu untuk melabur di Malaysia.

"Jutaan penghargaan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pihak-pihak berkaitan atas usaha berterusan merancakkan pelaburan di Malaysia.

"Semoga segala yang direncanakan akan membuahkan hasil, terutamanya dalam meningkatkan peluang pekerjaan serta keterlibatan syarikat tempatan dalam ekosistem pelaburan pihak Tesla sama ada di peringkat domestik atau global. Insya-ALLAH,” katanya.

Turut hadir pada pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman. - Bernama