Teruskan usaha mantapkan pengurusan masjid: Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin beramah mesra bersama kanak-kanak pada Majlis Raikan Syawal Felda Chuping 1440H di sini semalam.
A
A

PADANG BESAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan rasa bangga atas pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan kebanyakan jawatankuasa masjid di negeri ini termasuk aktiviti mengimarahkan masjid dan juga program kemasyarakatan.

Titah baginda, semua masjid perlu terus konsisten dalam kepimpinan yang berobjektifkan islah dan terus memantapkan lagi pengurusan masjid masing-masing supaya dapat diterima dengan baik seluruh masyarakat di negeri ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, pelbagai pakej bantuan daripada MAIPs seperti agihan Dakwah Bil Hal MAIPs, bantuan mikro baik pulih rumah serta agihan bantuan fitrah MAIPs berjaya dilaksanakan.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut merakamkan penghargaan kepada semua Jawatankuasa kariah yang baharu dilantik dan juga yang berkhidmat sebelum ini.

Baginda sangat menghargai segala jasa dan pengorbanan yang dilaksanakan dan mahu supaya semua pihak bersama-sama memberikan sokongan padu kepada segala perancangan positif yang sudah, sedang dan bakal dilaksanakan setiap masjid selepas ini.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Raikan Syawal Felda Chuping 1440H yang berlangsung di pekarangan Masjid Nurul Huda Felda Chuping, Padang Besar semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut Tuan Imam masjid, Mohd Fitri Mohamad; Pengurus Felda Chuping 1, Syed Muhamad Ridzuan Syed Nordi dan Pengurus Besar dan Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Utara, Abdullah Pirus Ishak dan Izham Ramli

Pada majlis yang sama pihak MAIPs melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nazim Mohd Noor menyerahkan sumbangan bagi membaiki atap yang bocor berjumlah RM6,000 kepada pihak Masjid Nurul Huda di Felda Chuping yang mempunyai 447 buah keluarga dan 3,000 penduduk pada masa ini.

Terdahulu, pada sebelah petangnya, Tuanku Raja Muda berkenan mengadakan kayuhan berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke 43 bagi tahun ini sejauh 18km melibatkan kawasan laluan di sekitar Felda itu di Chuping dan juga Kampung Kok Klang bagi menyampaikan sumbangan kepada asnaf terpilih.