Selepas setahun, di mana sokongan Sarawak?

Gambar kecil, Fairuz.
Gambar kecil, Fairuz.
A
A
A

PADA tahun ini, dua perayaan besar bagi negeri Sarawak iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai disambut hanya selang lima hari. Oleh sebab itu perayaan tahun ini disambut meriah oleh majoriti rakyat Sarawak yang mempunyai puluhan suku kaum. Semuanya ‘ngabang’, jadi jalan raya agak sesak di kampung-kampung.

Pada tahun ini, penulis berpeluang beraya di kampung halaman di Kampung Meranek, Kota Samarahan.

Perayaan Aidilfitri macam biasa, cukup meriah seperti tahun sebelumnya. Apa yang menjadi perbezaan kali ini ialah tajuk yang dibualkan bersama ahli keluarga dan sahabat handai. Jika tahun sebelumnya, tajuk perbualan banyak berkisar kepada pembangunan, cuaca, banjir, siapa yang dah berkahwin atau meninggal dunia, tetapi tahun ini ia lebih menjurus kepada tajuk politik.

Selepas lebih setahun Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan, pola politik negeri terbesar di Malaysia itu turut menerima tempiasnya apabila Barisan Nasional (BN) tumbang di peringkat Pusat. Bekas parti komponen BN di Sarawak yang diketuai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama empat lagi parti telah membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Rata-rata ahli keluarga dan sahabat penulis meluahkan perasaan bercampur-baur selepas kekalahan BN, maklumlah negeri ini sering dikaitkan dengan ‘deposit tetap’ BN pada PRU sebelumnya. Apapun permintaan utama mereka mahu segala bentuk bantuan dan pembangunan yang dijanjikan sebelum ini oleh BN dapat diteruskan.

Tidak dapat dinafikan, rakyat Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman masih mengharapkan bantuan kerajaan. Pembangunan dan kemudahan asas mesti diteruskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana masih terdapat kampung yang tidak dihubungkan dengan jalan darat, sumber air bersih dan elektrik.

Jadi, persoalan utama sekarang adalah di manakah sokongan rakyat Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diramal diadakan seawal tahun depan? Di sini penulis dapat pecahkan sokongan rakyat Sarawak kepada tiga bahagian.

Bahagian pertama adalah sokongan penduduk Sarawak yang beragama Islam terutamanya Melayu yang ramai tinggal di bahagian Kuching dan Samarahan. Berdasarkan rekod Jabatan Statistik pada 2010, jumlah penduduk Sarawak yang beragama Islam adalah 796,239 orang daripada keseluruhan 2,471,140 orang atau kira-kira 32 peratus daripada penduduk Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Majoriti Melayu Sarawak masih taat setia kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS. Walaupun GPS telah keluar daripada BN, ramai Melayu Sarawak menganggap GPS akan menyertai BN semula apabila BN berjaya merampas kembali Putrajaya daripada PH. Kita boleh katakan kawasan majoriti Melayu Sarawak adalah kawasan selamat kepada calon GPS.

Bagi bahagian kedua, sokongan kaum Dayak yang merupakan majoriti penduduk Sarawak adalah yang paling penting. Sokongan kaum ini adalah penentu kepada kemenangan GPS atau PH pada PRN Sarawak nanti. Sahabat penulis daripada kaum Dayak menyatakan mereka tiada masalah untuk terus memberikan sokongan kepada GPS, namun ada satu kegusaran yang mereka luahkan.

Mereka menyatakan kebimbangan jika kerjasama BN dan Pas berjaya merampas Putrajaya, maka perjuangan Islam yang dibawa Pas terutamanya hudud akan dibawa ke Sarawak. Walaupun kebimbangan mereka masih tidak mempunyai asas kukuh, namun sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi pola sokongan kaum Dayak.

Bagi bahagian terakhir pula adalah sokongan kaum Cina Sarawak. Kaum Cina Sarawak banyak tertumpu di kawasan bandar seperti Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu. Tidak dapat dinafikan, sejak Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963, sokongan kaum ini konsisten menyokong parti yang memperjuangkan agenda kaum tersebut. Pada hari ini DAP adalah parti yang dilihat menjadi suara kaum ini.

Tetapi ia bukan jaminan kepada DAP untuk terus mendapat mandat dari kaum ini. Pada PRN Sarawak 2016, DAP hanya memenangi tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 12 kerusi yang diperoleh pada PRN Sarawak 2011. Ekoran daripada keputusan itu, veteran DAP, Lim Kit Siang ‘mengaku kalah’ di Sarawak.

Bagi memastikan PH menang atau sekurang-kurangnya menambah kerusi di negeri Bumi Kenyalang itu, perkara utama yang mesti PH lakukan adalah mencuba melaksanakan semua janji-janji manifesto PRU14. Parti komponen PH di Sarawak juga tidak seharusnya bertembung sesama sendiri seperti yang berlaku pada 2016.

Politik di Sarawak adalah berbeza daripada negeri lain, walaupun Melayu beragama Islam dan Dayak beragama Kristian, perpaduan rakyat negeri ini tidak akan berjaya dipecahkan oleh politik. Malah semua kaum di Sarawak menolak sebarang bentuk hasutan yang membawa ancaman keselamatan kaum dan negeri.

Jadi GPS dan PH perlu berhati-hati, siapa yang membawa politik kebencian akan ditolak rakyat Sarawak. Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa PRN Sarawak nanti adalah cerminan apa yang bakal berlaku pada PRU15!