Tular mesej empat lelaki menyamar sebelum rompak

Mesej tular mengenai penyamaran empat lelaki bertujuan merompak rumah penduduk.
A
A

TAPAH - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menggesa orang ramai tampil membuat laporan polis sekiranya mempunyai maklumat berhubung kes rompakan rumah dilakukan empat lelaki yang menyamar sebagai pekerja syarikat pembekal mentol penjimatan elektrik.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ini berikutan penularan kejadian itu menerusi aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Menurutnya, sehingga kini, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh orang awam berhubung kes berkenaan.

"Untuk makluman, polis juga tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran mengenai kejadian itu melalui WhatsApp.

"Bagaimanapun kita meminta mana-mana pihak tampil menyalurkan maklumat atau membuat laporan polis jika berlaku kejadian seperti dinyatakan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dalam mesej tular itu dimaklumkan bahawa terdapat sekumpulan tiga ke empat lelaki akan melawat ke rumah penduduk mendakwa mereka daripada syarikat air mahu memasang topi pancuran bagi penjimatan air atau syarikat elektrik mahu menukar mentol elektrik penjimatan tenaga secara percuma.

Mesej yang dikatakan dikeluarkan IPD Tapah itu turut mengingatkan penduduk agar tidak membenarkan lelaki berkenaan masuk ke rumah kerana dipercayai perompak bersenjata.

Turut disebarkan adalah empat keping MyKad dipercayai mewakili empat individu yang dinyatakan terlibat dalam sindiket berkenaan.