Penagih dadah ditikam tokan dadah

A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penagih dadah ditikam tokan dadah kerana dipercayai tidak membayar RM30 selepas membeli dadah jenis heroin, dalam kejadian di perumahan Pulau Duyong, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, ketika berada di rumah, lelaki berusia 39 tahun itu dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki dikenali 'Chot'.

Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang tokan dadah di sekitar kawasan tersebut terus bertanyakan mengenai bayaran dadah yang dijual kepada mangsa sebelum ini.

Kata sumber, suspek menuduh mangsa masih tidak membayar RM30 iaitu harga dadah jenis heroin yang diambil sebelum itu tetapi dinafikan lelaki itu.

"Mangsa menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu sehingga berlakunya pertengkaran mulut di antara mereka. Suspek yang gagal mengawal emosinya bertindak agresif lalu bertindak menikam lengan kiri mangsa dengan pisau di bawanya.

"Mangsa yang dalam kesakitan seterusnya melarikan diri memohon bantuan dengan orang ramai yang berada di situ, namun tidak seorang pun yang mengendahkan keadaannya kerana takut untuk masuk campur.

"Disebabkan itulah, mangsa terpaksa menggagahkan diri pergi ke Balai Polis Chabang Tiga, di sini, untuk mendapatkan bantuan sebelum anggota menghubungi ambulans dan dia yang berada dalam keadaan lemah ketika itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya kepada Sinar Harian.

Sumber berkata, akibat kejadian, mangsa menerima 12 jahitan di lengan kirinya sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis pada keesokan harinya.

Jelas sumber, susulan laporan dibuat mangsa, suspek berusia 32 tahun ditahan di tepi jalan di Pulau Duyong, di sini, kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia