Lelaki warga Singapura maut rempuh van

A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki warga Singapura maut dalam keadaan ngeri apabila kepalanya putus selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah van di KM6.6 Jalam Gelang Patah-Ulu Choh, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa, Liaw Ziang E, 43, maut di tempat kejadian selepas putus bahagian leher.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila van jenis Toyota Hiace yang bergerak dari arah Ulu Choh menghala ke Gelang Patah dipercayai masuk ke simpang kanan.

"Kemudiannya, van itu dirempuh oleh motosikal yang ditunggangi mangsa yang bergerak lurus dari arah Gelang Patah menghala ke Ulu Choh.

"Ekoran dari kemalangan tersebut, mangsa putus bahagian kepala dan tercampak ke tengah jalan. Pemandu van tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa mati ditempat kejadian dan mayatnya kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi tujuan bedah siasat," katanya.

Dzulkhairi berkata, punca kemalangan disebabkan mangsa telah melanggar bahagian belakang kiri van tersebut.

"Pemandu van telah ditahan untuk tujuan siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.