Mujahid tidak akan mempertahankan jawatan Pengerusi Amanah P.Pinang

Dr Mujahid (berdiri dua, kiri) beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Jamuan Rahmah Aidilffitri anjuran Parti Amanah Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang hari ini. - FOTO BERNAMA
Dr Mujahid (berdiri dua, kiri) beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Jamuan Rahmah Aidilffitri anjuran Parti Amanah Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A
A

KEPALA BATAS - Pengerusi Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi parti itu bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk penggal akan datang.

Beliau berkata peluang dan ruang harus diberikan kepada rakan dalam parti tersebut untuk menerajui parti ke arah yang lebih baik berlandaskan intipati Malaysia Baharu.

"Saya memberi laluan sepenuhnya kepada rakan yang lain bagi mengisi jawatan yang saya pegang sekarang ini untuk pemilihan akan datang iaitu di peringkat negeri," katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Amanah peringkat negeri Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata beliau optimis dengan adanya kepimpinan yang baharu, parti tersebut akan terus berkembang seperti mana kepercayaan yang telah diberikan oleh orang ramai terhadap Amanah yang dilihat kian bertambah selepas pilihan raya yang lalu.

"Walaupun kita hanya dapat dua daripada tiga kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) di sini, itu menunjukkan bahawa Amanah semakin diterima oleh rakyat," katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa akan tetap memberi sokongan dan komitmen kepada kepimpinan parti sama ada di peringkat negeri mahupun nasional secara berterusan.

"Bagi (pemilihan) peringkat nasional pula, ia terpulang kepada pencalonan nanti," katanya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, kini memegang jawatan Naib Presiden dalam kepimpinan Amanah di peringkat nasional.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun ini, parti Amanah akan mengadakan pemilihan di semua peringkat iaitu negeri dan nasional yang dimulakan dengan mesyuarat tahunan pada 1 Julai hingga 31 Ogos ini. - Bernama