Tuduhan rasuah: Bekas Presiden Sudan tampil di mahkamah minggu depan

Omar al-Bashir
A
A

KHARTOUM - Bekas Presiden Sudan yang digulingkan, Omar al-Bashir dijangka tampil di mahkamah minggu depan bagi menghadapi pertuduhan rasuah dan memiliki mata wang asing, lapor pemangku pendakwa negara hari ini.

Pengumuman dibuat dua bulan selepas Bashir digulingkan tentera negara itu pada 11 April lalu ekoran protes besar-besaran terhadap pemerintahannya yang bertahan selama 30 tahun.

"Bashir akan tampil di mahkamah minggu depan ekoran tuduhan rasuah dan memiliki mata wang asing," kata Al-Waleed Sayyed Ahmed tanpa menyatakan sebarang tarikh.

Menurutnya, siasatan yang dilancarkan terhadap bekas presiden Sudan itu pada bulan lalu berhubung tuduhan penyelewengan wang dan menaja keganasan telah selesai.

April lalu, pemerintah tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan berkata, kira-kira AS$113 juta (RM471 juta) wang tunai dalam tiga mata wang dirampas dari kediaman Omar ketika satu serbuan.

Sepanjang pemerintahan Bashir yang bermula pada tahun 1989, Sudan mengalami kadar rasuah yang tinggi.

Menurut Indeks Persepsi Rasuah 2018 kelolaan Transparency International, Sudan berada di tangga ke-172 dari 180 negara yang dibelenggu rasuah.

Ahmed turut berkata, 41 lagi tuduhan terhadap simbol rejim yang digulingkan itu kini sedang disiasat dan kebanyakannya berkaitan dengan pemilikan tanah. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia