Wanita tertekan syarikat peti ais tuntut hutang RM27,000

Sabrina (kiri) menceritakan masalahnya kepada Michael (kanan)
Sabrina (kiri) menceritakan masalahnya kepada Michael (kanan)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita tertekan selepas dipaksa melunaskan hutang bekas suaminya berjumlah RM27,000 atas pembelian sebuah peti ais lapan tahun lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Sabrina Tong, 50-an memberitahu, bekas suaminya itu membelikannya sebuah peti ais berjenama dengan harga RM1,700 secara ansuran daripada sebuah kedai di Tampoi, di sini.

"Bagaimanapun, tahun ini anak saya ada menerima beberapa kali panggilan yang mendakwa daripada ibu pejabat jenama peti ais itu dan memaklumkan hutang peralatan elektrik itu berjumlah RM1,600 masih tidak dapat dijelaskan dan kini telah mencecah RM27,000.

"Pembelian peti ais itu atas nama bekas suami saya, kenapa perlu saya menjelaskan. Lagipun, bekas suami telah meninggalkan kami kira-kira lapan tahun lalu akibat turut berhutang dengan ah long.

"Saya menjadi semakin musykil kenapa selepas lapan tahun, hutang itu baharu dituntut. Lagipun, peti ais itu sudah pun rosak," katanya yang mendedahkan perkara itu kepada Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay di pejabatnya di Taman Maju Jaya, di sini, hari ini.

Dia yang bekerja sebagai pemandu van sekolah untuk menyara hidup, berkata turut menerima panggilan dari peguam syarikat itu yang memaklumkan masalah itu dapat diselesaikan sekiranya dia membayar RM1,000.

"Saya bayar secara dalam talian RM1,000 yang diminta. Tetapi, masalah tetap tidak selesai dan pihak tersebut tetap mahu saya membayar RM27,000.

"Sekiranya saya gagal membayarnya, mereka mahu menyita barang-barang dalam rumah saya," katanya yang telah membuat laporan polis Taman Pelangi pada 31 Mei lepas.

Artikel Berkaitan:

Ujar ibu kepada tiga anak itu, dia sekeluarga kini bimbang dengan keselamatan diri masing-masing dan berharap pihak berkuasa dapat membantu mereka.

Sementara itu, Michael berkata, tidak sepatutnya mangsa membayar kerana hutang berkenaan bukan atas namanya dan pihaknya akan membantu mengemukakan masalah itu kepada pihak berkuasa.