Rakyat hilang kepercayaan Inkues Adib

Jamil Khir Baharom
Jamil Khir Baharom
A
A
A

ALOR SETAR - Rakyat semakin hilang kepercayaan kepada inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim kerana timbul rasa keraguan terhadap prosiding kes yang sedang berjalan termasuk pendekatan inkues dilaksanakan sebelum ini, demikian menurut Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, pendedahan oleh bekas peguam kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor mengenai campur tangan Peguam Negara, Tommy Thomas di dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib menguatkan lagi keraguan tersebut.

Menurutnya, seluruh kaum di negara ini sedang melihat keadilan yang diberikan kepada Allahyarham Muhammad Adib yang terkorban dalam melaksanakan tugasannya sebagai anggota bomba ketika memadamkan kebakaran.

"Pada saat akhir, peguam terutamanya yang mewakili KPKT sendiri (mendedahkan) semacam ada arahan agar menarik balik.

"Ramai (rakyat) menilai bahawa kegagalan menguruskan kes kematian ini menyebabkan pandangan terhadap sistem kehakiman dan perundangan Malaysia dilihat sebagai sesuatu yang amat buruk," katanya kepada sidang akhbar ketika ditemui di Bangunan UMNO Negeri Kedah, hari ini.

Menurutnya, kes Allahyarham Muhammad Adib perlu diselesai secara tuntas dan didedahkan kerana rakyat sedang menanti keputusan dan juga apa yang akan berlaku selepas inkues itu.

"Untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap sistem dan perundangan berkaitan dengan praktis undang-undang di Malaysia, jadi hal-hal seperti ini mesti dijelaskan dan terbuka kepada masyarakat umum dalam memberikan keadilan (kepada Allahyarham).

"Ini bukan soal berkaitan bangsa ataupun orang Melayu, tetapi kerana sistem perundangan yang dilaksanakan itu. Kesan dari kejadian yang berlaku beliau sudah menjadi mangsa (Allahyarham Muhammad Adib) sehingga membawa kepada kematian," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Syazlin sertai semula inkues

Ini antara sebab mengapa Tommy Thomas perlu letak jawatan

Dalam perkembangan lain, Pemuda UMNO hari ini mendesak agar Tommy segera meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara sama ada secara sukarela mahupun dipecat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya kerajaan berpegang kepada prinsip 'rule of law' dan memelihara kedaulatan undang-undang, maka Tommy didakwa tidak layak terus memegang jawatan tersebut.