8 orang asli dirawat di Hospital Hulu Terengganu

Dr Mohd Jusoh
Dr Mohd Jusoh
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai lapan daripada 23 orang asli di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu dirujuk ke Hospital Hulu Terengganu setelah menunjukkan simptom batuk dan sesak nafas, selain cirit-birit dan muntah.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, kesemua mereka mendapatkan rawatan susulan, setelah Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu mendapat maklumat terdapat sebilangan orang asli dari Kuala Koh, Gua Musang yang berpindah ke penempatan baru di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan, terdapat seramai 23 orang asli yang berasal dari Kuala Koh di penempatan itu.

“Daripada jumlah tersebut, lapan orang telah dirujuk ke Hospital Hulu Terengganu di mana tujuh orang telah mengalami gejala batuk dan sesak nafas.

“Seorang lagi mengalami cirit-birit, sakit perut dan muntah dan dirawat sebagai AGE. Pesakit yang dimasukkan ke wad berumur antara 4 hingga 25 tahun, terdiri dari 3 perempuan dan 5 lelaki.

“Kesemua mereka yang dimasukkan ke wad dalam keadaan stabil dan beberapa sampel klinikal telah diambil dan dihantar ke makmal untuk menjalani ujian pengesahan, dan keputusan dijangka dalam tempoh dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah menjalankan aktiviti survelan ke atas empat perkampungan orang asli di negeri ini, susulan kejadian jangkitan saluran pernafasan dalam kalangan orang asli Kuala Koh.

Survelan itu melibatkan orang asli di tiga daerah iaitu Kemaman, Besut dan Hulu Terengganu.

Artikel Berkaitan:

“Hasil daripada survelan, lima orang asli (satu keluarga) terdiri daripada seorang ibu dan 4 anaknya dikenal pasti berasal dari Kuala Koh, yang menetap di Sungai Berua, Hulu Terengganu.

“Kelima-limanya telah disaring dan sihat tanpa sebarang tanda-tanda jangkitan di saluran pernafasan,” katanya.

Menurut Dr Mohd, JKNT melalui Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu meneruskan aktiviti survelan dan saringan di kawasan perkampungan orang asli yang mempunyai tanda-tanda simptom respiratori dan demam serta memberi rawatan pada yang mempunyai tanda dan gejala di penempatan orang asli Kampung Sungai Berua dan Gerdong.

Selain itu, pihaknya akan menjalankan aktiviti ceramah kepada komuniti orang asli serta nasihat ‘person to person’ berkenaan kebersihan diri dan persekitaran.

“Orang asli juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di klinik berdekatan atau ke hospital jika terdapat ahli keluarga atau rakan-rakan yang tidak sihat. Jangkitan saluran pernafasan adalah sangat mudah untuk berjangkit.

“Penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat-tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem latihan tentera dan polis,” katanya.

Jelasnya, sebagai langkah-langkah pencegahan penularan jangkitan salur pernafasan, pihak JKNT mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitiser, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat.