27 pelajar sekolah menengah positif dadah di Melaka

Nazir
Nazir
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seramai 27 pelajar sekolah menengah di negeri ini dikesan mengambil dadah, hasil ujian saringan yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Nazir Mohamad berkata, jumlah itu bagaimanapun mencatatkan sedikit peningkatan dari 24 pelajar pada tahun lalu dan dadah jenis methamphetamine lebih popular dalam kalangan golongan terbabit.

Menurutnya, pelajar positif itu meliputi kawasan hotspot Orang Kena Pengawasan (OKP) termasuk Tanjung Kling, Tanjung Minyak, Kandang, bandar Melaka, bandar Alor Gajah, Masjid Tanah dan Merlimau.

"Daripada 27 pelajar yang positif, 20 daripadanya positif dadah methamphetamine, enam ganja dan seorang pelajar didapati mengambil dadah jenis opiate.

"Kita percaya kesemua mereka ini mendapatkan bekalan dadah dengan mudah di kawasan persekitaran kediaman contohnya yang tinggal di kawasan perumahan flat," katanya di sini hari ini.

Tambah Nazir, pihaknya tidak akan berdiam diri dalam menangani masalah global itu dan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui jihad perangi dadah terutama di kawasan hotspot yang dimaksudkan.

Selain itu menurutnya, ujian saringan ke sekolah-sekolah menengah akan diteruskan secara berkala kepada pelajar yang berisiko bagi mengekang penularan dadah dalam kalangan pelajar.

"Disebabkan itu juga kita kerap menganjurkan kem yang penuh dengan pelbagai pengisian serta memberikan rawatan bantuan pemulihan psikologi dan kaunseling kepada pelajar positif dadah agar mereka ini dapat diselamatkan sekali gus mengurangkan bilangan penagihan dadah termasuk OKP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini seramai 1,081 jumlah OKP di negeri dan Alor Gajah mendahului dengan jumlah OKP tertinggi 449 orang, Melaka Tengah (356) dan Jasin (276).