Kenyataan perkembangan kes Pastor Koh, Amri akan dibuat oleh KDN

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador ditemu bual pemberita semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini. - Foto Bernama
Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador ditemu bual pemberita semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis tidak akan terlibat dalam pasukan petugas khas siasatan berhubung kes kehilangan Pastor Koh Keng Joo serta aktivis sosial Amri Che Mat, dan sebarang kenyataan mengenai perkembangan perkara itu akan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, satu pasukan petugas khas bagi meneliti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan dua individu itu telah dibentuk oleh kerajaan.

“Dalam kes itu (kehilangan Pastor Koh dan Amri) polis tidak akan terlibat (siasat)...sekiranya pihak saya (polis) terlibat dalam itu nampak berat sebelah, orang tak percaya...maka ia diserahkan kepada KDN,” katanya kepada Bernama, di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Raymond Koh, Amri: PDRM beri kerjasama penuh

April lepas, Suhakam mengeluarkan laporan yang menyebut bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan Koh dan aktivis sosial Amri dan susulan laporan itu, Kabinet pada 23 Mei bersetuju sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi meneliti laporan Suhakam itu.

Pasukan itu bakal dianggotai antara enam dan tujuh individu dan akan mengesyorkan tindakan wajar yang perlu diambil oleh kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab dalam kes itu.

Koh, 64, dilapor diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, dekat sini, pada 13 Februari 2017 sementara Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 November 2016. - Bernama

Artikel Berkaitan: