Pas gesa Tommy letak jawatan, kembalikan keyakinan rakyat

Nasruddin (kanan) bersama Ahmad Fakhruddin (kiri) pada sidang media selepas Konvesyen Pas Kedah 2019 di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, di sini, hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Peguam negara, Tommy Thomas didesak untuk segera meletakkan jawatan berkaitan inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada sistem keadilan di negara ini.

Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, pihaknya merasakan Tommy tidak layak mewakili institusi peguam memandangkan tidak memberi keadilan sewajarnya.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan Peguam Syazlin Mansor semalam yang menyebut wujud elemen tekanan terhadap dirinya dan campur tangan pihak lain yang menunjukkan ketidakadilan dalam proses inkues itu.

"Jadi, kami mengambil satu langkah dengan mendesak Tommy Thomas untuk letak jawatan sebagai Peguam Negara kerana tidak layak untuk mewakili institusi peguam negara.

"Saya lihat, kes Muhammad Adib tidak diberi keadilan sewajarnya," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Pas Kedah 2019 di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Beliau berkata, Pas melihat perkara ini belum berlaku proses saksama, tetapi dilihat sudah ada bias, malah, ia diakui sendiri beliau yang menarik diri dalam meneruskan prosiding," katanya.

Menurut Nasruddin, jikalau tidak, pandangan rakyat terhadap sistem keadilan negara akan negatif, sekaligus Tommy diminta meletakkan jawatan segera.

"Ramai pihak termasuklah beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memiliki hasrat serupa dan gesaan sama supaya Peguam Negara itu meletakkan jawatannya," katanya.

Nasarudin berkata, pihaknya berharap kes berkenaan dibicarakan secara adil tanpa sebarang tekanan ataupun campur tangan pihak tertentu.

"Ini bukan soal parti... bukan soal Pas, UMNO ataupun PH, tetapi keadilan, iaitu proses membuat keputusan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Syazlin sertai semula inkues

Semalam, peguam Syazlin Mansor dalam sidang medianya berkata akan kembali menyertai inkues dan mewakili semula keluarga Muhammad Adib dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner yang bakal disambung semula pada 26 Jun depan.

Syazlin berkata, ayah kepada Allahyarham Muhammad Adib juga pernah berjumpa dengan dirinya dan merayu agar beliau terus mewakili keluarga mereka dalam prosiding inkues ini.