Tindakan samseng bawa padah

'Mat Cekah' dijatuhi hukuman jel selama 28 bulan kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang mekanik, Mei tahun lalu.
'Mat Cekah' dijatuhi hukuman jel selama 28 bulan kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang mekanik, Mei tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang lelaki dikenali sebagai 'Mat Cekah' dihukum 28 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang mekanik, dalam kejadian Mei tahun lalu.

Keputusan dibuat terhadap Che Azhar Che Khas atau lebih dikenali 'Mat Cekah',56, dari Hulu Takir, Kampung Batin, Kuala Nerus selepas mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Mohd Rizal Abdul Mubin, 52.

Mengikut pertuduhan, 'Mat Cekah' sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa di Lorong Haji Su, di sini, kira-kira jam 3.30 petang, pada 9 Mei 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim dihadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menghantar kereta jenis Suzuki Swift kepada mangsa untuk dibaiki sejak dua bulan sebelum kejadian.

Bagaimanapun, ketika mahu mengambil kenderaannya, tertuduh tidak puas hati apabila caj dikenakan RM500 kerana mendakwa terlalu tinggi dan hanya bersetuju membayar RM300 menyebabkan berlaku berlaku pergaduhan antara mereka.

Dalam pergaduhan itu, mangsa dipukul menggunakan pasu bunga dan batu di kepala, selain turut ditendang di muka dan badan dan diikat pada bahagian kaki dan tangan dengan dawai besi.

Artikel Berkaitan:

Kejadian menyebabkan mangsa cedera dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan mangsa patah tulang rusuk kiri serta luka di kepala.

Sebelum ini, polis memburu tiga lelaki termasuk 'Mat Cekah' bagi membantu siasatan berhubung kes pukul mengakibatkan kecederaan parah terhadap seorang mekanik.

Bagaimanapun, 'Mat Cekah' menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu selepas mengetahui dirinya diburu polis sejak kejadian 9 Mei 2018.