Penyelia kilang maut motor ditunggang hilang kawalan

Motosikal mangsa mengalami kerosakan di bahagian depan akibat melanggar besi penghadang jalan, semalam. Gambar kecil: Hasron Nazri
Motosikal mangsa mengalami kerosakan di bahagian depan akibat melanggar besi penghadang jalan, semalam. Gambar kecil: Hasron Nazri
A
A
A

KAMPAR - Seorang penyelia kilang maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 3, Jalan Tanjung Tualang - Malim Nawar di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.10 pagi itu, Muhammad Khairil Azrin Abdul Rahman, 26, dari Kampung Batu 7, Batu Gajah, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat kemalangan melibatkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR telah terbabas sendirian.

“Siasatan awal terhadap punca kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Malim Nawar menuju ke Batu Gajah.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang besi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan motosikal terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk pemeriksaan Puspakom.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan: