Penunggang maut motosikal rempuh besi penghadang jalan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TEMERLOH - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kilometer 106.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Barat ke Timur di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.43 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas merempuh besi penghadang di sebelah kiri jalan.

"Penunggang motosikal telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat tercampak dan jatuh di kawasan longkang tepi jalan.

"Siasatan terperinci diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azhar menyeru kepada mana-mana individu yang melihat melihat kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian 09-2716086 bagi membantu siasatan.