Anak jatuh dari lori ketika bapa dikejar polis

Suspek berjaya ditahan oleh anggota trafik di sebuah restoran di Taman Soon Choon, semalam. Gambar kecil: Mohd Ali
Suspek berjaya ditahan oleh anggota trafik di sebuah restoran di Taman Soon Choon, semalam. Gambar kecil: Mohd Ali
A
A
A

IPOH - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun terselamat selepas terjatuh dari lori yang dipandu bapanya ketika satu adegan kejar-mengejar dengan anggota polis di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, suspek berusia 37 tahun cuba melarikan diri dari satu sekatan jalan raya dengan membuat pusingan U di Jalan Sultan Nazrin Shah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, dua anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah telah mengejar dan mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan.

"Suspek enggan menurut arahan sebaliknya lori dipandu dengan laju dan berbahaya melalui Kampung Sengat, Perumahan Pulai Height, Jalan Sultan Nazrin Shah dan Taman Soon Choon sejauh lima kilometer.

"Semasa mengejar, penumpang iaitu kanak-kanak terbabit telah terjatuh dari lori berkenaan. Suspek kemudiannya menghentikan kenderaan dan melarikan diri ke dalam sebuah restoran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek bertindak agresif dengan cuba merampas senjata api milik anggota ketika ditahan.

"Semasa tangkapan berlaku pergelutan dan suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang awam di lokasi kejadian. Video tangkapan telah ditular oleh orang awam.

"Hasil siasatan mendapati suspek yang berasal dari Tanjung Tualang itu mempunyai enam rekod kes lampau dalam jenayah dan dadah serta memiliki waran tangkap trafik iaitu gagal menunjukkan lesen memandu pada 2013," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ali berkata, suspek disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

"Suspek turut disiasat mengikut seksyen 26(1) APJ 1987 iaitu tidak memiliki lesen memandu dan Seksyen 15(1)(a) akta sama, cukai jalan tamat tempoh.

"Dia juga turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Katanya, kanak-kanak terbabit hanya mengalami luka ringan dan anggota menghantar pulang ke rumahnya di Gopeng.