Penganjur jamin keselamatan Kampar River Festival 2019

Hasrol (tiga dari kanan) pada sidang media berkenaan.
Hasrol (tiga dari kanan) pada sidang media berkenaan.
A
A
A

IPOH - Aspek keselamatan peserta akan diberikan perhatian utama sempena penganjuran Kampar River Festival 2019 yang dijadualkan berlangsung mulai 5 hingga 7 Julai 2019.

Pengarah festival, Mohd Hasrol Kamis@Mahmud berkata, aspek tersebut dilaksanakan demi menjamin keselamatan kesemua peserta termasuk pengunjung karnival berkenaan.

Malah menurutnya, apsek keselamatan berkenaan akan turut melibatkan kesemua acara yang dianjurkan terutamanya acara-acara yang berlangsung di sepanjang sungai Kampar seperti water rafting, kayak, downriver dan tubing race.

“Sepanjang penganjuran festival ini, seluruh elemen keselamatan akan kita berikan keutamaan. Ia bermula daripada pengawalan am kepada pengunjung dan peserta sehinggalah kepada setiap aktiviti yang dijalankan.

“Kita juga cuba wujudkan tahap keselamatan dari segi kesihatan di sepanjang festival berlangsung.

“Bagi acara utama yang menggabungkan empat disiplin iaitu water rafting, kayak, downriver dan tubing race, kita akan tempatkan petugas di setiap 'critical point' di sepanjang jeram di Sungai Kampar,” katanya di sini hari ini.

Mohd Hasrol berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran Kampar River Festival 2019 di Bilik Gerakan Negeri.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su, Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How, dan ADUN Teja, Sandra Ng.

Artikel Berkaitan:

Selain acara sukan air lasak, festival berkenaan akan turut mengadakan seminar geopark, persembahan warisan budaya dan pelbagai lagi aktiviti menarik di sepanjang festival berkenaan.

Hadiah-hadiah menarik juga menanti pemenang khususnya bagi acara utama iaitu rafting race yang menyediakan hadiah wang tunai RM3,000 serta trofi King Of Kampar River bagi pemenang tempat pertama, RM2,000 (tempat kedua), RM1,000 (ketiga) dan RM500 bagi pemenang tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, Exco Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing menyifatkan penganjuran festival berkenaan sebagai salah satu usaha bagi mempromosikan pelancongan eko (echo tourism) di negeri ini.

Malah setakat ini katanya, penganjuran festival itu dilihat berjaya menarik penyertaan daripada luar negara seperti dari Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei, Perancis, Mongolia dan Greece.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan ini, kita sasarkan untuk jadikan festival ini sebagai acara tahunan.

“Ini juga selaras dengan hasrat kita untuk utamakan pembangunan komuniti setempat dan bagi festival kali ini, kita jangkakan lebih 2,000 pengunjung akan berada di Kampar sepanjang karnival berlangsung.

“Ianya sekali gus akan dilihat satu ‘limpahan ekonomi’ kepada komuniti setempat,” katanya.