LKIM sedia jadi orang tengah

Muhammad Faiz (depan, tengah) dan Abdul Yunus (depan, lima dari kanan) bergambar dengan nelayan yang hadir pada sesi dialog hari ini.
Muhammad Faiz (depan, tengah) dan Abdul Yunus (depan, lima dari kanan) bergambar dengan nelayan yang hadir pada sesi dialog hari ini.
A
A
A

LUMUT - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersedia menjadi orang tengah antara Kerajaan Perak dan Pulau Pinang membabitkan kerja-kerja mengorek pasir dan penambakan melibatkan dua negeri ini.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, kerja-kerja mengorek pasir yang akan dijalankan di sekitar perairan Manjung hingga Kerian di Perak itu akan digunakan untuk kegiatan menambak tiga pulau di Pulau Pinang.

"Sesi dialog yang diadakan dengan persatuan nelayan di Perak hari ini bertujuan mendengar permasalahan serta kebimbangan nelayan ini sekiranya aktiviti mengorek pasir tersebut dijalankan hasil tangkapan mereka akan berkurangan.

"Oleh itu, saya berpendapat pihak LKIM perlu memainkan peranan dengan mengalu-alukan perbincangan antara dua negeri ini bagi mendapat taklimat secukupnya," katanya Selepas Sesi Dialog Pengerusi LKIM Bersama Nelayan PeraK di Pejabat LKIM Perak di sini hari ini.

Menurutnya, sekiranya kedua-dua kerajaan negeri terbabit bersedia mengadakan perbincangan dan taklimat berkenaan isu tersebut, pihaknya yakin satu pendapat akan diperoleh.

"Aktiviti mengorek pasir bagi kerja-kerja penambakan di Pulau Pinang dijalankan bukan hanya menjejaskan nelayan di Perak malah juga di Pulau Pinang. Jika korek pasir dilakukan ia akan jejas kawasan dari sudut muka bumi dan habitat serta hidupan di situ yang menjadi tumpuan aktiviti menangkap ikan.

"Inilah yang membimbangkan nelayan di kedua-dua negeri dan sesi dialog seperti hari ini adalah untuk mendengar luahan mereka. LKIM akan menjadi orang tengah antara Kerajaan Perak dan Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan Perak, Abdul Yunus Jamahri berkata, Kerajaan Perak belum mengadakan perbincangan dengan kerajaan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Kalau melihat laporan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masalah ini begitu serius kerana ia melibatkan lebih 6,000 nelayan di Perak terjejas dan perkara ini saya akan bawa dalam mesyuarat Exco akan datang.

"Dari segi perbincangan dengan kerajaan Pulau Pinang masih belum ada lagi dan kita nak dengar taklimat terperinci daripada pihak Pulau Pinang," katanya yang turut hadir pada sesi dialog berkenaan.

Sebelum ini, terdapat bantahan daripada nelayan terhadap Projek Penang South Reclamation (PSR) yang bakal dijalankan di bahagian selatan perairan Pulau Pinang yang dijangka memberi kesan terhadap alam sekitar dan ekosistem.

Sekiranya diteruskan, kesannya bukan sahaja membabitkan nelayan di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang di Pulau Pinang tetapi lebih 6,000 nelayan di Perak akan terjejas.

Ini kerana projek itu dikatakan menggunakan sebanyak 189 juta meter padu (m3) pasir yang akan dikorek di kawasan 20 batu nautika dekat perairan di daerah Manjung hingga Kerian, Perak.