Lelaki miliki 23 saman tertunggak, 9 waran tangkap ditahan

Sebahagian penunggang motosikal yang diperiksa dalam operasi motosikal OP Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan di Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur semalam. - Foto ihsan JSPT Selangor
Sebahagian penunggang motosikal yang diperiksa dalam operasi motosikal OP Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan di Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur semalam. - Foto ihsan JSPT Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki bukan sahaja ditahan kerana kesalahan tidak memiliki lesen motosikal malah dikenal pasti mempunyai 23 saman tertunggak serta sembilan waran tangkap yang masih aktif.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Sha'riat berkata, lelaki berusia 21 tahun itu antara 162 penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi motosikal OP Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan di Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur bermula jam 7 pagi tadi.

Beliau berkata, motosikal lelaki berkenaan disita dan dia dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Selangor untuk pertuduhan tiga waran tangkap di Mahkamah Majistret Kuala Selangor sebelum dibawa ke daerah Klang Utara untuk pertuduhan waran selebihnya.

Menurutnya, dalam operasi sama pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 227 saman POL 257 kepada 162 penunggang motosikal yang ditahan.

"Sebanyak 162 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak mengikut lorong motosikal dan 65 saman lagi atas pelbagai kesalahan lain.

"Pemeriksaan menunjukkan ada penunggang motosikal yang melakukan lebih dari satu kesalahan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azman berkata, operasi kali ini merupakan penguatkuasaan secara ‘total enforcements’ kepada penunggang motosikal yang masih berdegil menggunakan laluan lebuh raya dan tidak mengikut lorong motosikal yang disediakan.

Bagaimanapun katanya, advokasi oleh pihaknya turut diberikan kepada pemandu kenderaan lain mengenai keselamatan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, seramai sembilan pegawai serta 34 anggota JSPT terlibat dalam operasi yang berakhir pada jam 9 pagi itu.