Fama sasar 3,500 pusat jualan menjelang 2020

Ahmad (kiri) dan Anuar (kanan) menunjukkan durian dikeluarkan Fama selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Fama Kedah, di sini hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan untuk menubuhkan sehingga 3,500 pusat jualan di seluruh negara menjelang 2020.

Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata, sehingga kini Fama memiliki lebih kurang 3,300 pelbagai pusat jualan seperti pasar tani, AgroBazaar dan My farm Outlet di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya merancang menubuhkan 50 outlet baharu bagi pusat jualan di Fama demi merealisasikan matlamat itu menjelang tahun 2020.

"Sehingga kini, kita memiliki kira-kira 3,334 pusat jualan telah diwujudkan, sekaligus diharapkan pada 2020 jumlah diharapkan mencecah sehingga 3,500.

"Daripada jumlah itu, kita berharap dapat mewujudkan 1,000 pasar tani menjelang 2020 berbanding 800 pasar tani di seluruh negara ketika ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Fama Kedah, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Fama Kedah, Anuar Mohamed.

Dalam perkembangan sama, katanya, Fama akan bekerjasama dengan outlet agensi lain, Pasar Nelayan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Dalam kerjasama terbabit, kita akan berharap hasil tanaman sayur dijual di pasar nelayan, manakala hasil nelayan dijual di pasar tani," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, pihaknya tidak menerima aduan berhubung tanaman seperti buah-buahan terjejas berikutan kemarau ataupun musim panas.

"Setakat ini, kita tidak dapat maklumat ada kejatuhan sebaliknya harga buah-buahan seperti durian masih dalam keadaan baik, stabil dan tidak tinggi," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia