Dadah dalam mangkuk cendol

Zulkifli (tengah) menunjukkan dadah yang disorok dalam mangkuk cendol
A
A

KUALA LUMPUR - Polis merampas dadah jenis ketamin seberat 6.2 kilogram bernilai RM372,000 yang disorok dalam mangkuk cendol di sini semalam.

Dadah berkenaan cuba diseludup ke Taiwan menggunakan perkhidmatan kurier dirampas polis dalam serbuan yang dilakukan di sebuah premis syarikat penghantaran berkenaan di Salak Selatan, Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, hasil dari maklumat yang diterima, polis melakukan pemeriksaan di syarikat kurier berkenaan pada 10 pagi.

Mangkuk cendol diubah suai untuk menyeludup dadah
Mangkuk cendol diubah suai untuk menyeludup dadah

“Hasil siasatan, kami menemui 154 mangkuk cendol yang diubahsuai untuk menyorokkan dadah.Dua mangkuk dicantumkan kemas dan dadah disorokkan antara dua mangkuk itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini. Zulkifli berkata, susulan serbuan itu, dua lelaki warga tempatan berusia 22 dan 23 tahun dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah ditahan di sekitar Lembah Klang pada hari sama.

"Salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau sementara hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka negatif. Suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan polis Taiwan bagi mengesan beberapa lagi ahli sindiket ini.

"Sindiket ini telah dikesan beberapa kali menyeludup dadah dengan cara sama ke Taiwan dan usaha sedang giat dilakukan bagi membanteras kegiatan ini.

"Sindiket menjadikan Malaysia sebagai negara transit mengedar dadah sebelum ia diseludup keluar ke negara ke tiga," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia