11 ditahan jual alat ganti kenderaan curi

Ismail (kiri) menunjukkan kenderaan curi yang disita dalam operasi berkenaan.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan 11 lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan lerai dan menjual alat ganti kenderaan curi dalam satu serbuan di sebuah stor kenderaan di Batu 13, Sungai Tiram di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, kesemua lelaki yang ditahan berusia dalam lingkungan 29 hingga 45 tahun.

“Bertindak hasil risikan selama seminggu serta maklumat yang telah dikumpul, sepasukan polis dari Balai Polis Ulu Tiram telah membuat serbuan ke atas sebuah stor penyimpanan kereta di Sungai Tiram.

“Sebanyak 13 kenderaan dalam stor berkenaan kemudiannya telah diperiksa yang mana kemudiannya mendapati enam buah kereta dan dua buah rangka motosikal telah diganggu chasisnya,” katanya pada sidang media di Balai Polis Ulu Tiram di sini hari ini.

Ismail berkata, berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek juga dipercayai terlibat dengan kes curi kereta dan motosikal sekitar daerah bandar raya ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis sehingga kini sedang giat mengesan seorang lelaki berusia 30-an dipercayai dalang sindiket tersebut yang dikenali sebagai Alan Boy.

“Kita percaya sindiket ini mula aktif sejak dua bulan lalu. Modus operandinya pula adalah menyasarkan kenderaan lama untuk dijadikan alat ganti selain mudah dicuri kerana kurang aspek keselamatan.

“Semakan mendapati sembilan daripada kesemua suspek ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah. Bagaimanapun kesemuanya bebas daripada pengaruh dadah,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek juga telah menerima perintah reman selama tiga hari bermula semalam hingga 13 Jun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Undang-Undang Kesalahan Kecil.