Ahli Majlis MBIP serah memorandum kepada MB Johor

Mohd Azam ketika bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri Besar di Kota Iskandar di sini hari ini.
Mohd Azam ketika bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri Besar di Kota Iskandar di sini hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Ahli-ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menyerahkan memorandum berhubung pendedahan terhadap dakwaan salah guna kuasa membabitkan Datuk Bandarnya, kepada Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, hari ini.

Memorandum tersebut diserahkan oleh kumpulan Ahli Majlis MBIP diketuai Whip Parti Amanah, Mohd Azam Mektar.

Mohd Azam berkata, penyerahan memorandum kepada Menteri Besar itu sebagai menyatakan bantahan rasmi terhadap tindakan Datuk Bandar MBIP, Datuk Adib Azhari Daud.

"Pada 26 Mei lalu, kami telah membuat pendedahan terhadap dakwaan salah guna kuasa oleh Datuk Bandar MBIP yang disyaki mengkhianati peniaga Melayu dengan mengubah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan berhubung pengeluaran permit dan lesen berniaga bazar ramadan di Taman Nusantara.

"Bagaimanapun sehingga kini Datuk Bandar masih lagi tidak memberikan sebarang penjelasan berhubung dakwaan salah guna kuasa tersebut meskipun telah diberikan ruang dan peluang lebih 15 hari untuk menafikan dakwaan tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri Besar di Kota Iskandar di sini hari ini.

Mohd Azam berkata, antara isi kandungan memorandum adalah tuntutan agar kerajaan negeri membuat pemantauan berkala terhadap Datuk Bandar, Yang Dipertua dan semua ketua jabatan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor, agar memberikan kerjasama sewajarnya kepada Ahli Majlis.

"Tindakan sabotaj oleh penjawat awam terutamanya mereka yang berada di peringkat pembuat keputusan dikhuatiri akan menyebabkan kepincangan jentera pentadbiran kerajaan yang akhirnya akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada penjawat awam serta menjatuhkan imej perkhidmatan awam Johor secara keseluruhannya.

"Oleh yang demikian, kami berharap agar Menteri Besar sebagai ketua pentadbiran kerajaan yang mempunyai kuasa eksekutif untuk mempertimbangkan isi kandungan memorandum ini, dan mengambil tindakan sewajarnya demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azam ketika bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri Besar di Kota Iskandar di sini hari ini.
Mohd Azam ketika bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri Besar di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pertemuan susulan penyerahan memorandum tersebut, Menteri Besar memaklumkan satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengkaji dan memperhalusi perkara dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Majlis MBIP.

Ditanya sama ada pihaknya ada mengambil inisiatif bersemuka dengan Datuk Bandar selepas pendedahan dibuat menerusi sidang media sebelum ini, Mohd Azam akui tiada pertemuan dilakukan.

"Kerana kita minta dia buat kenyataan secara terbuka. Kita (Whip Parti) tidak ada pertemuan dengan Datuk Bandar selepas kenyataan media yang lepas. Kita hanya ada pertemuan dengan Exco Kerajaan Tempatan, Tan Chen Choon sehari selepas sidang media tersebut.

"Ketika itu dia (Exco) mengambil maklum terhadap apa yang telah kami utarakan dan saya jangka benda itu telah dibawa ke Mesyuarat Exco dan daripada hasil Mesyuarat Exco ditubuhkan jawatankuasa seperti yang saya maklumkan tadi," katanya.

Beliau turut memaklumkan selepas pertemuan dengan Menteri Besar tadi, Ahli-Ahli Majlis MBIP tidak mempunyai masalah berjumpa dengan Datuk Bandar dan menghadiri semua mesyuarat PBT tersebut.