Ekstradisi Zakir Naik: Pemuda Pas sokong Mahathir

Dr Mahathir bersama Zakir dalam satu pertemuan yang dimuat naik oleh Zakir di Facebooknya.
Dr Mahathir bersama Zakir dalam satu pertemuan yang dimuat naik oleh Zakir di Facebooknya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Pas menyatakan sokongan terhadap tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang enggan memenuhi permintaan India untuk mengekstradisi pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik ke negara itu.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi turut bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan ketegasannya itu seperti tindakan Australia yang sehingga ke hari ini tidak menyerahkan Sirul Azhar Umar kepada Malaysia yang disabit atas kesalahan bunuh.

"Saya menyokong tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak mengekstradisi pendakwah antarabangsa Dr. Zakir Naik ke India di atas kebimbangan beliau tidak akan mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Mahathir membuat kenyataan dengan membandingkan status Zakir Naik dengan permohonan Malaysia terhadap Australia berkenaan ekstradisi Sirul Azhar Umar yang disabit atas kesalahan bunuh.

Menurutnya, sebelum menerima permohonan ekstradisi daripada pemerintah India, kerajaan Malaysia perlu mengetahui apa yang berlaku kepada individu berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: PM banding status Zakir dengan ekstradisi Sirul

Pada masa sama, Muhammad Khalil turut menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang mempertikaikan keputusan Mahathir adalah tidak wajar.

"Zakir Naik adalah tetamu di Malaysia dan selama berada di Malaysia, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan malah kehadirannya turut disenangi oleh majoriti rakyat di dalam negara. Statusnya sebagai pendakwah di medan antarabangsa sudah cukup membuktikan bahawa beliau bukan sepertimana yang di dakwa.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya disebabkan status dan kredibiliti Dr. Zakir Naik sebagai pendakwah antarabangsa maka Perdana Menteri membuat keputusan untuk tidak mengekstradisi beliau ke India," katanya.

Katanya, dengan kemampuan dan pengalaman Dr Mahathir, beliau percaya keputusan yang dibuat tidak akan menimbulkan ketegangan hubungan dua hala antara Malaysia dan India.

Sementara itu, Muhammad Khalil percaya keputusan yang dibuat Dr Mahathir itu adalah tanpa merujuk kepada anggota Kabinetnya, sama seperti mana isu lantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Letheefa Koya.

"Muktakhir ini jika dilihat Mahathir sudah boleh membuat dua keputusan yang agak besar tanpa merujuk dulu kepada Kabinet. Adakah boleh dikatakan Kabinet yang ada sekarang lemah dan terdapat anggotanya tidak menepati piawaian sebagaimana yang didakwa hingga beliau langsung tidak merujuk kepada mereka.

"Adakah beliau tidak mempercayai sebahagian daripada Kabinetnya lalu membuat keputusan sendiri. Berdasarkan situasi tersebut, boleh disimpulkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidaklah sekukuh dan sekuat yang didakwa," katanya.