DHCV lancar operasi CKD kenderaan Tata Motors di Malaysia

Barisan pengurusan Tata Motors Limited, DRB-Hicom dan pegawai operasi DHVC pada majlis pelancaran CKD tempatan untuk kenderaan Tata Motors di Loji CKD di Gurun baru-baru ini.
A
A

EKORAN kejayaan melancarkan Tata Super Ace dan pelbagai model trak Tata Ultra tahun lalu, DRB-HICOM Commercial Vehicles Sdn Bhd (DHCV) yang merupakan pengedar sah kenderaan Tata Motors di Malaysia bersama-sama dengan Tata Motors Limited (Tata Motors) melancarkan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk kenderaan Tata Motors.

Pelancaran operasi CKD ini ditandakan dengan pemanduan keluar kenderaan Tata Super Ace dan Tata Ultra 814 (7,500kg) dan lori 1014 (10,400kg) yang pertama dihasilkan di kilang pengeluaran itu.

Pelancaran tersebut merupakan langkah strategik untuk merancakkan jualan dan penguasaan pasaran bagi rangkaian produk Tata Motors terutama dalam segmen pikap kecil dan trak ringan di Malaysia.

Bercakap pada majlis pelancaran itu, Ketua Pegawai Operasi DHCV, Mohd Syahrul Yusuf berkata, pemasangan tempatan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mempromosikan ekosistem pembekal, sambil mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan kemahiran baharu.

"Sambutan menggalakkan terhadap produk-produk Tata di Malaysia membolehkan kami mempercepatkan pemasangan tempatan ketiga-tiga model ini,” katanya.

Untuk memacu perkembangan dalam segmen jualan dan pasaran, DHCV dan Tata Motors berhasrat untuk melancarkan kempen pemasaran secara menyeluruh di semua rangkaian media.