23 wanita warga asing mangsa sindiket pelacuran

Sebahagian daripada hasil rampasan dalam operasi berkenaan.
Sebahagian daripada hasil rampasan dalam operasi berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Gadis berusia 15 tahun antara 23 warganegara asing yang diselamatkan polis hasil daripada serbuan di sebuah premis di Taman Nusa Bestari, Skudai, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua wanita warga asing itu adalah terdiri daripada 15 wanita Vietnam dan lapan wanita Thailand.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kesemua wanita berusia 15 hingga 39 tahun itu dipercayai ditempatkan di kediaman berkenaan untuk dijadikan mangsa sindiket pelacuran sekitar bandar raya ini.

"Serbuan telah dijalankan kira-kira jam 11.35 malam yang disertai sepasukan pegawai dan anggota dari unit Pencegahan Atipsom (D3) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Unit Pencegahan Judi/Maksiat (D7) Johor dan Iskandar Puteri.

"Wanita daripada Thailand semuanya masih baharu, ada yang baharu seminggu sahaja sampai di negara ini, manakala dari Vietnam pula disyaki sudah berada selama sebulan hingga setahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, dalam operasi sama, polis turut bertindak menahan lima suspek termasuk seorang perempuan dan lelaki warganegara Zambia kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

"Kesemua suspek iaitu empat lelaki dan seorang wanita ini berusia dalam lingkungan 23 hingga 47 tahun.

"Berdasarkan daripada keterangan salah seorang suspek, kami percaya kegiatan haram ini sudah berjalan sejak tiga tahun lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis juga merampas sejumlah barangan terdiri daripada wang tunai bernilai RM27,406, wang tunai dolar Singapura, sebuah kereta, telefon bimbit dan beberapa dokumen.

Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan juga turut menemui barangan dipercayai mahu digunakan untuk kegiatan pelacuran seperti kondom dan pelincir kelamin.

"Kesemua mangsa akan dipohon perintah perlindungan interim (IPO) di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini manakala suspek juga akan diminta perintah reman," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.