Dadah NPS direka untuk ganti dadah larangan lain

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sama ada sesuatu bahan psikoaktif diekstrakkan daripada tumbuhan atau disintesiskan, secara umumnya bahan psikoaktif bertindak serta mampu memberi gangguan ke atas sistem saraf pusat dan fungsi otak.

Pakar penyelidik farmasi Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Mohamed Azmi Hassali berkata, penggunaan bahan psikoaktif berkenaan mampu mengubah dan mengganggu keadaan mental atau prestasi tingkah laku seseorang.

Menurutnya, kesan sampingan bahan psikoaktif baru (NPS) ialah sawan, psikosis, agitasi, tingkah laku agresif dan ketagihan kepada NPS.

“NPS ialah bahan kimia yang direka bentuk dan disintesiskan untuk meniru dan menggantikan dadah larangan yang sedia ada seperti ganja, kokain, ekstasi dan lysegic acid diethylamide (LSD).

“Oleh sebab NPS tidak dikawal, komposisi NPS dalam produk yang dipakai oleh pengguna sering tidak ketahui. Jadi, pengguna NPS terdedah kepada risiko kelebihan dos, ketoksikan, atau potensi karsinogen adalah sangat tinggi,” katanya kepada Sinar Siasat baru-baru ini.

Mohamed Azmi berkata, perkara berkenaan boleh dibuktikan oleh kemasukan kecemasan hospital dan kematian. Menurutnya, kadangkala kematian itu mungkin dikaitkan dengan penggunaan lebih daripada satu bahan larangan.

“Kajian terhadap NPS masih tidak begitu ekstensif buat masa sekarang, memang terdapatnya kajian yang menunjukkan bahawa sesetengah bahan seperti amphetamine akan mengakibatkan kerosakan otak.

“Walaubagaimanapun, oleh sebab tindakan utama bahan psikoaktif adalah di otak, kesan terhadap otak kita tidak dapat dielakkan,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, oleh sebab NPS berkembang pada kadar yang begitu cepat, ia membawa risiko dan cabaran yang sangat besar kepada kesihatan awam, sosial dan dasar mahupun polisi dadah.

“Kesan buruk NPS masih tidak diketahui sepenuhnya atau kajian yang dilakukan tidak secepat perkembangan NPS, jadi ia menimbulkan juga cabaran kepada kerja pencegahan dan rawatan.

Bagaimanapun, menurutnya, tindakan pencegahan boleh diambil di pelbagai peringkat.

“Ibu bapa dan pihak sekolah perlu memainkan peranan untuk memantau tingkah laku anak-anak dengan lebih kerap terutamanya jika terlihat tingkah laku yang aneh.

“Pihak polis dan kastam juga harus mengetatkan lagi kawalan sempadan dan menguatkuasakan undang-undang terhadap bahan larangan dan dadah.

Dari segi dasar dan polisi dadah pula, Mohamed Azmi berharap pihak berkuasa memantau dengan lebih kerap lagi aktiviti jualan NPS dan sentiasa mengemaskini senarai dadah supaya NPS yang baru diliputi di bawah undang-undang.

Sementara itu, Pakar Kimia yang juga Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Sukri Hassan berkata, pembuatan dadah berkenaan tidak menjalani ujian klinikal dan kajian mengikut protokol yang ditetapkan.

Menurutnya, kesan sampingan boleh dialami dalam masa singkat.

“Malah yang membimbangkan jika ia dialami selepas tempoh masa yang panjang misalnya selepas lima atau 10 tahun.

“Kesan-kesan seperti kerosakan organ dalaman, sistem imunisasi dan kanser mungkin boleh berlaku,” katanya.