MPV polis lawan arus untuk bantu kawal kemalangan

Video yang dirakam tular di media sosial semalam.
Video yang dirakam tular di media sosial semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah MPV polis dirakam melawan arus di Lebuhraya Linkedua pada jam 2.30 pagi semalam bagi mengawal kemalangan yang berlaku tidak jauh dari Plaza Tol Perling.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, anggota peronda yang terlibat memberi respons segera bagi mengawal trafik di lokasi kemalangan.

"Ketika berada berhampiran Plaza Tol Perling arah pusat bandar Johor Bahru, peronda dimaklumkan pengguna jalan raya tentang kemalangan yang berlaku tidak jauh dari situ.

"Peronda lebuh raya berpatah balik ke lokasi kemalangan bagi membantu mangsa kemalangan memandangkan ia hanya diterangi lampu jalan dan jarak dari Plaza Tol Perling lebih kurang 1.5 kilometer.

"Tindakan awal diambil bagi memberi respons segera dalam membantu mangsa kemalangan serta mengawal penyuraian trafik sebelum bantuan kecemasan ambil tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Semalam, tular video yang menunjukkan sebuah kereta dipercayai milik polis yang memasang lampu mata arah berwarna biru melawan arus di Lebuhraya Linkedua.

Menurutnya, anggota terlibat juga telah mengambil semua langkah keselamatan ketika berpatah balik melawan arus.

"Semua langkah keselamatan telah diambil dengan memasang lampu mata arah (beacon light), siren dan menggunakan lorong kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan segera berpatah balik terpaksa diambil kerana 'volume' lalu lintas pada masa tersebut tidak sesak dan selamat untuk tindakan awal serta lokasi yang berdekatan," katanya.

Katanya lagi, siasatan terperinci juga sedang dijalankan.