'Hantar segera pakar pemakanan ke Kuala Koh'

Zubaidi
Zubaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar Kesihatan, Dr Zubaidi Ahmad menyarankan agar kerajaan segera menghantar pakar pemakanan ke kawasan orang asli di Kuala Koh, Gua Musang bagi mengekang penularan penyakit radang paru-paru atau Pneumonia dalam kalangan komuniti itu.

Jelas Dr Zubaidi, pada pengamatan beliau tahap nutrisi yang rendah kemungkinan menjadi punca mudahnya penularan penyakit Pneumonia dalam kalangan orang asli di kawasan berkenaan.

"Saya jangka ada jangkitan kuman dan saya rasa mungkin tahap pemakanan orang asli di situ tidak cukup nutrisi yang akhirnya menyebabkan daya tahan mereka menjadi lemah dan rendah.

"Sebagai contoh di kawasan bandar di mana berlakunya Pneumonia, memang ada tetapi tidak kerap dan jarang berlaku kerana daya tahan mereka yang tinggi, jadi saya fikir orang asli di kawasan berkenaan kemungkinan daya tahan mereka rendah disebabkan oleh gaya pemakanan yang tidak seimbang, tidak sihat jadi mungkin mereka tidak dapat cukup nurtisi walaupun mereka makan tetapi mereka tidak cukup nutrisi yang seimbang, sebab itulah pakar pemakanan perlu segera melihat perkara ini," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan terbaharu di Sungai Koh di mana dilaporkan terdapat kematian akibat radang paru-paru dalam kalangan orang asli.

Mengulas lanjut, Dr Zubaidi berkata punca berlakunya kejadian ini berkemungkinan orang asli tidak meyangka bahawa mereka menghidapi Pneumonia.

"Mereka mungkin anggap batuk biasa dan mereka tidak rasakan benda ini satu yang 'mencemaskan' jadi mungkin dari kawasan mereka ke pusat kesihatan agak jauh, atau mereka merawak dengan cara konvensional dalam kalangan mereka jadi mungkin ini tidak berkesan dan akhirnya menyebabkan kematian," katanya.

Mengakui sangat terkejut dengan jumlah kematian itu, Dr Zubaidi berkata perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat sepatutnya tak jadi masalah di era sekarang sebab kita ada antibiotik tapi dengan terjadinya wabak begini saya ia rasa agak ralat kerana perkara ini boleh dikawal mungkin perkara ini kita terlepas pandang," katanya lagi.

Tanda-tanda

Pneumonia sering bermula dengan demam, batuk dan selesema yang dianggap ‘biasa’ sama ada oleh ibu bapa, penjaga yang tidak menganggapnya sebagai suatu simptom serius.

Tanda yang mungkin nampak serius dan menjadi amaran kepada ibu bapa, penjaga dan juga doktor bahawa ia adalah pneumonia, apabila demam tinggi, batuk berkahak dan sukar bernafas.

Apabila dijangkiti, tidur mereka biasanya terganggu dan tanda bertambah teruk apabila mereka langsung tidak aktif dan bermaya malah hilang selera makan.

Kumpulan berisiko

Kanak-kanak di bawah usia lima tahun, terutama bawah dua tahun dan miskin, berisiko menghidap penyakit ini.

• Warga tua juga turut berisiko.

• Pesakit HIV lebih berisiko tinggi dan berkemungkinan mati akibat pneumonia.

• Kanak-kanak yang tidak mendapat cukup zat boleh melemahkan sistem imunisasi, sekali gus meletakkan mereka sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti pneumonia.

Penyebab

• Kebanyakan organisma boleh menyebabkan pneumonia.

• Di peringkat global, bakteria seperti Hib dan pneumokokkus adalah dianggarkan untuk menyebabkan lebih daripada 50 peratus kematian akibat radang paru-paru di kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Virus dan kulat juga boleh menyebabkan pneumonia.

Pencegahan dan rawatan

• Ia boleh dicegah dengan vaksin Hib dan pneumokokus.

• Tingkatkan tahap nutrisi.