'Lantikan Latheefa ikut perlembagaan'

AMIRUDIN SHARI
AMIRUDIN SHARI
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan mengikut perlembagaan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, dalam soal ini, semua pihak seharusnya menghormati pelantikan tersebut dan tidak menjadikannya sebagai isu atau modal politik.

"Pelantikan berkenaan mengikut bidang kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dilakukan mengukut perlembagaan negara.

"Segala pertikaian yang timbul kita fahami, namun kita belum boleh melakukannya. Perlu tindakan awalan sebelum sesuatu perubahan dilaksanakan," katanya.

Memetik laporan media tempatan, katanya, pandangan yang dilontarkan oleh tokoh undang-undang, Gopal Sri Ram juga sangat jelas.

“Saya rasa pandangan jitu itu perlu dihormati dan bukan menjadi isu politik lebih lagi di suasana Aidilfitri ketika ini,” katanya.

Pada 6 Jun lalu, Gopal Sri Ram berkata, pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau sendiri yang memilih peguam Latheefa Koya dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM patut dibimbangi.

Katanya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong tidak dapat menjawab persoalan pokok yang ditanyakan apabila mengatakan pelantikan tersebut dibuat dengan berlandaskan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, isunya berkait janji PH untuk mengekang kuasa budi bicara Perdana Menteri yang luas.

Terdahulu, Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menamatkan kontraknya lebih awal.

Pejabat Perdana Menteri, dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh kontrak dua tahun dan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.