Klima ajak orang awam hulur sumbangan bantu suku kaum Bateq

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Klima Action Malaysia (Klima) mengajak orang ramai menghulurkan sumbangan untuk didermakan bagi membantu masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq di Kuala Koh, Gua Musang yang menghadapi masalah kesihatan.

Jurucakap Klima, Nadiah Dzulfakar berkata, mereka merancang mengagihkan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan untuk masyarakat Orang Asli berkenaan pada Khamis, 13 Jun ini.

Menurutnya, terdapat 57 keluarga di sana, iaitu sekitar 280 orang dan mereka semua dalam kelaparan kerana tidak mempunyai akses kepada air bersih.

"Apa yang mereka beritahu kita bahawa sumber air di kawasan itu tercemar dan mereka tidak tahu mengapa. Kami merancang untuk pergi ke sana dan membawa ubat-ubatan, makanan dan bekalan air bersih," katanya kepada Sinar Harian

Turut serta dalam misi itu ialah sekumpulan penyelidik yang akan menguji kandungan air yang dikatakan tercemar.

Menurut Nadiah, Klima juga telah berhubung dengan masyarakat berkenaan sejak sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

"Tindakan pertama yang kami lakukan adalah membantu Orang Asli yang terjejas.

"KIta menggesa orang ramai menghulurkan sumbangan supaya mereka boleh membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan yang diperlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nadiah, kempen yang bermula semalam berjaya mengumpulkan hampir RM4,000 kutipan dengan sasaran awal sebanyak RM6,000.

Bagaimanapun Nadiah berharap akan dapat memperoleh lebih banyak bantuan makanan dan ubat-ubatan sebelum 13 Jun.

"Klima memerlukan makanan seperti beras, gula, garam, teh, kopi, tepung, ikan bilis, mi segera, minyak masak, biskut, sardin dalam tin dan susu pekat manakala bantuan ubat-ubatan seperti Panadol untuk kanak-kanak, Panadol Active Fast, ubat batuk dan pelekat luka turut diperlukan.

"Barangan tersebut boleh diserahkan ke Masjid Kota Damansara sehingga 11 Jun atau di Bandar Chiku 3, Gua Musang sehingga 12 Jun," katanya.

Sementara itu, bagi mereka yang ingin membuat sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya ke nombor akaun Maybank 162021600931.

Semalam, pelbagai pihak mendesak kerajaan Kelantan, kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan mengambil tindakan serius untuk membela nasib orang asli suku Bateq di Gua Musang yang sedang dilanda krisis penyakit misteri.