Pejabat kesihatan temui 24 lagi kes ada gejala demam, batuk

Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin
A
A
A

KOTA BHARU – Pasukan Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang telah diarahkan melakukan carian kes secara aktif (Active Case Detection) di Kuala Koh dan sehingga semalam, pihaknya menemui 24 kes lagi yang mempunyai gejala demam dan batuk.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin melalui satu kenyataan yang dikeluarkan jabatan itu berkata, pesakit-pesakit tersebut telah dibawa ke Klinik Kesihatan Chiku 3, Gua Musang untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Kita juga telah melakukan beberapa pemeriksaan klinikal terhadap pesakit-pesakit orang asli Kuala Koh dan mendapati mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan di saluran pernafasan.

“Pihak Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai sedang melakukan beberapa ujian klinikal lanjutan bagi menentukan penyebab jangkitan tersebut.

“Setakat ini keputusan ujian terhadap tibi telah diperoleh dan ia adalah negatif. Pihak kami masih menunggu keputusan ujian yang lain.

“Kesemua mereka yang dirawat dalam wad di hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai sejak 4 Jun lalu adalah stabil dan keadaan kesihatan mereka semakin pulih,” katanya dalam kenyataan itu.

Mengenai isu 13 kematian yang dicatatkan dalam tempoh sebulan, beliau berkata, hasil verifikasi Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang mendapati, hanya dua kes sahaja melibatkan kematian disebabkan jangkitan paru-paru (pneumonia) dan bedah siasat dilakukan di Hospital Gua Musang.

Beliau berkata, hanya dua kematian sahaja dapat disahkan kerana jumlah kematian selebihnya tidak pernah dilaporkan kepada pihak hospital atau klinik-klinik kesihatan.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa ini, aktiviti kawalan telah dilakukan di lapangan melalui Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang di kawasan berkaitan dengan mengadakan pendidikan kesihatan seperti ceramah dan edaran risalah berkaitan penyakit berjangkit dan kebersihan diri serta persekitaran.

“Selain daripada promosi kesihatan, carian kes secara aktif (Active Case Detection) ke atas semua penduduk kampung Orang Asli Kuala Koh dan pengesanan kontak di kawasan terlibat turut dilakukan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan terus bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat dalam pengurusan pencegahan dan kawalan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.