Perusahaan madu kelulut ubah hidup suami isteri

Mohd Amirul menunjukkan log kelulut yang diternak olehnya sejak 2013.
Mohd Amirul menunjukkan log kelulut yang diternak olehnya sejak 2013.
A
A
A

JERANTUT - Tidak seperti anak muda lain yang berhijrah ke bandar mencari rezeki, seorang pemuda dari Kampung Gajah Mati di sini memilih mencari rezeki dengan menetap di kampung halaman.

Mohd Amirul Mat Noor, 26, mengusahakan madu lebah kelulut bagi merubah nasibnya sekeluarga.

Bermula pada 2013, dia dibantu oleh isterinya, Syarifah Norsyahirah Syed Seman, 25.

Menurutnya, dia mula berminat dan menceburi bidang itu selepas melihat usaha bapa saudaranya di Felda Lepar Hilir Dua menternak kelulut di sekeliling rumah.

“Sebenarnya saya sebelum ini mencari rezeki dengan melakukan kerja kampung seperti menoreh getah dan sebagainya.

“Saya juga membuat kerja sebagai tukang rumah dan membaiki rumah penduduk dengan pendapatan yang tidak tetap,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun setelah melihat bapa saudaranya berjaya mengusahakan madu lebah tanpa masalah, membuatkan dia beralih arah.

“Bila memikirkan saya yang tinggal di kampung mempunyai kawasan yang luas dan sumber sarang kelulut yang mudah mendorong saya untuk menceburi bidang itu secara serius sejak lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Saya mula beralih kepada penternakan kelulut sepenuh masa sebagai sumber pendapatan baharu yang menguntungkan dan boleh menyara keluarga,” katanya.

Mohd Amirul (tengah) melayan pelanggan membeli madu lebah kelulut yang dibotolkan.
Mohd Amirul (tengah) melayan pelanggan membeli madu lebah kelulut yang dibotolkan.

Mohd Amirul berkata, menternak kelulut lebih mudah, kurang berisiko jika tahu mengendalikannya selain permintaan dan harga pasaran untuk madu itu juga tinggi.

“Sejak itu saya mula mencari sendiri log kelulut di hutan berhampiran kampung dan pengalaman sebagai tukang rumah tidak menjadi masalah kepada saya untuk mencari sarang atau log di hutan berhampiran.

“Memang peringkat permulaan saya menghadapi masalah bila log kelulut sering diserang serangga perosak,” jelasnya situasi itu menyebabkan dia mengambil inisiatif menyertai kursus menerusi Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada setiap hujung minggu.

Katanya, dia yang banyak mendapat ilmu tentang kelulut dan produk hiliran dari kelulut kini tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

Mohd Amirul berkata, kini dia ada 30 jenis sarang kelulut spesis heterotrigona itama dan dua sarang spesis geniotrigona thoracica.

Katanya, pada musim panas, pengeluaran madu boleh mencecah 30 ke 40 kilogram sebulan dan dijual secara runcit dan borong.

“Isteri saya mengambil inisiatif dengan menjual madu ini di atas talian,” katanya.

Mengakui taraf hidup keluarganya semakin baik, pendapatan mereka mencecah hampir RM2,000 sebulan berbanding sekitar RM500 ke RM800 sebulan hasil upah membaiki rumah.

“Kehidupan saya sekeluarga memang berubah selepas mengusahakan madu kelulut. Rezeki Alhamdulillah semakin baik.

“Kami suami isteri memasang cita-cita untuk memperluaskan lagi pasaran madu kelulut serta menambah hasil pengeluaran sedia ada pada masa hadapan,” katanya.